Berita Utama

Angan-angan Anwar jadi PM kian terkubur?

PH rugi jika isu bakal calon PM terus jadi taruhan: Penganalisis

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Rakyat boleh menilai percaturan politik Pakatan Harapan (PH) yang semakin bercelaru, menyaksikan perebutan jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika PH memerintah, tindak-tanduk Dr Mahathir memperlihatkan beliau enggan menyerah jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, janji setahun kepada dua tahun – sehingga beliau sendiri melepaskan jawatan secara mengejut.

Kini ketika menjadi pembangkang, perebutan jawatan Perdana Menteri masih berlaku – seolah-olah Dr Mahathir mahu angan-angan Anwar untuk menjadi pemimpin nombor satu negara terkubur.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, setakat ini belum menampakkan kesepaduan dalam kalangan parti bagi melantik bakal Perdana Menteri bayangan disebabkan sokongan dan keyakinan parti komponen PH yang tidak sekata.

Katanya, sekiranya isu berterusan dan tidak dapat diselesaikan dengan baik, boleh mengakibatkan reputasi dan kewibawaan PH tercalar.

“Ini kerana rakyat akan memerhati dan menilai dari sudut kepemimpinan PH untuk terus menarik undi keyakinan dalam kalangan rakyat. Ini merugikan PH sekiranya isu bakal calon Perdana Menteri PH menjadi taruhan.

“Seharusnya strategi politik, perancangan dasar yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat terutamanya langkah pembasmian masalah ekonomi yang harus menjadi taruhan yang dapat menarik undi dan merangsang keyakinan rakyat terhadap gabungan parti politik tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, PH masih belum mempunyai keputusan muktamad berkaitan calon Perdana Menteri yang akan mewakili gabungan itu.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, walaupun terdapat banyak gesaan, pihaknya perlu mengambil pandangan pelbagai pihak bagi mencapai kata sepakat berkaitan perkara itu.

Sementara, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) pula mahu PH memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri kerana Anwar gagal memperoleh sokongan.

Kedua-dua parti itu berkata, Anwar hanya dijangka mampu mendapat sokongan maksimum 96 Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri, sementara usaha Presiden PKR itu untuk menarik sokongan dari Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak berjaya selepas tempoh dipersetujui tamat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button