Berita Utama

Cadangan pindaan hukuman pemandu mabuk dibentang esok

Semak semula tahap alkohol dibenar dalam nafas, air kencing, darah

PUTRAJAYA, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Cadangan untuk meminda hukuman terhadap pemandu mabuk mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan juga akan merangka formula lebih komprehensif bagi mengekang pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara merbahaya melalui perundangan, penguatkuasaan dan pendidikan.

“Selain cadangan mengenakan hukuman yang lebih berat di bawah Seksyen 41 hingga 45 Akta 333 yang berkaitan dengan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol, memandu secara melulu dan berbahaya, MOT juga menyemak semula tahap kandungan alkohol yang dibenarkan dalam nafas, darah serta air kencing.

“Ia berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam berdepan isu pemandu mabuk,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Isu pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian pengguna jalan raya lain di negara ini tidak berkesudahan sehingga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan akta itu dipinda bagi membolehkan hukuman berat dilaksanakan ke atas pesalah.

Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

Berdasarkan statistik polis, dari Januari sehingga Mei, sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk direkodkan dan lapan daripadanya menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Antara yang terbunuh akibat pemandu mabuk adalah seorang anggota polis yang sedang bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan baru-baru ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close