Berita UtamaIstimewa

Syor lanjut moratorium hingga darurat tamat: Penganalisis

Benarkan rakyat terjejas keluar KWSP Akaun 1 tanpa syarat tambahan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Kerajaan disyor untuk mempertimbangkan lanjutan moratorium kepada golongan sasar yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga tempoh darurat tamat.

Ini termasuk membenarkan juga pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang di Akaun 1 mereka tanpa sebarang syarat tambahan.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, melalui dua langkah itu, secara tidak langsung membantu sebahagian rakyat khususnya kumpulan B40 yang terjejas akibat PKP dan pelaksanaan darurat.

Beliau berkata, meskipun pelaksanaan PKP 2.0 tidak memberi kesan menyeluruh kepada rakyat, sektor bersasar masih perlukan perhatian untuk ‘kembali bernafas’.

“PKP 1.0 memang memberi kesan mendalam kepada kebanyakan rakyat di seluruh negara

“Tetapi, PKP 2.0 masih menjejaskan beberapa sektor bersasar dan sebahagian mereka yang terikat dengan pelaksanaan PKP,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Prof Abu Sofian berkata, walaupun pelaksanaan hanya untuk tempoh 14 hari, kebanyakan mereka masih terjejas pendapatan khususnya dalam kalangan yang tiada kerja tetap dan peniaga mikro.

“Tambahan pula, mereka kurang mendapat bantuan dan sesetengah mereka tidak dapat mengeluarkan caruman KWSP mereka.

“Dengan adanya PKP telah menjejaskan kehidupan dan pendapatan sebahagian rakyat Malaysia terutama kumpulan B40, apatah lagi dengan pengisytiharan darurat.

“Justeru, agensi kerajaan dan NGO perlu membantu melalui bentuk wang ringgit atau pun barangan untuk mereka ‘survive’ sehingga semua berakhir,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 membabitkan Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang dan Sabah selama dua minggu sehingga 26 Januari ini.

Kemudian pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong pula memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos atau ke sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes jangkitan harian COVID-19 dapat dikawal serta diturunkan dengan berkesan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button