Berita Utama

FaceApp salahi etika kemanusiaan

Dikhuatiri mampu jatuhkan maruah, menjurus keadaan tidak baik

KUALA LUMPUR, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Meskipun berniat hanya untuk keseronokan, namun penggunaan aplikasi menukar wajah, FaceApp yang kini ‘trending’ dalam kalangan netizen disifatkan menyalahi etika kemanusiaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbuatan berkenaan dikhuatiri mampu menjatuhkan maruah selain menjurus kepada keadaan yang tidak baik sekiranya dilakukan sewenang-wenangnya.

“Allah telah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, jadi tidak perlu ditukarkan dengan cara yang lain.

“Ini kerana Allah telah menetapkan kemuliaan terhadap manusia dari keturunan Nabi Adam dengan pelbagai kelebihan termasuklah akal dan wajah yang mempunyai ekspresi marah, suka, geram, dendam serta sebagainya.

“Jadi saya nasihatkan agar ia dapat dielakkan daripada menukar wajah dengan wajah-wajah yang lain apatah lagi ada yang menukarkan wajah perempuan kepada lelaki dan sebaliknya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Pada masa sama, Zulkifli berkata, mengubah ciptaan termasuk dalam bentuk gambar tidak wajar dilakukan walaupun berada dalam era kemajuan teknologi.

“Sebab itu kalau kita tengok, manusia ini bila dia hidup, dia ada nama tidak seperti ayam, kucing ikan yang tidak ada nama, tetapi manusia ni ada nama seperti Ahmad, Fatimah, Ali, Zainab dan seumpamanya.

“Ini adalah untuk membezakan antara satu sama lain, jadi apabila kita tukar wajah dengan lelaki ditukar kepada perempuan dan seumpamanya, maka konsep yang sepatutnya kita kenal identiti mereka akan berubah dan merupakan sesuatu yang tidak baik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button