Pendapat

Kelantan negeri paling banyak miliki Tanah Rizab Melayu

Ikut keluasan Semenanjung Malaysia, nisbah TRM ialah 33.22 peratus

SEBAGAIMANA yang kita ketahui bahawa, di awal permulaan tahun 2020 telah beberapa isu negara seperti pertukaran tampuk kepimpinan negara di mana Perikatan Nasional (PN) telah mengambil alih pemerintahan negara daripada Pakatan Harapan serta berlakunya pandemik COVID-19 yang melanda negara serta mengakibatkan Kerajaan Malaysia terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga kini.

Saya mengikuti perkembangan isu Tanah Rizab Melayu di mana penilaian ke atas dasar-dasar Kerajaan Pakatan Harapan sepanjang pemerintahan mereka dari tahun 2018 sehingga berlakunya perubahan kuasa kepada Perikatan Nasional pada Februari 2020.

Sepanjang tempoh 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan, pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan-kerajaan negeri serta pihak-pihak yang berkepentingan dalam meningkatkan nilai Tanah Rizab Melayu yang tidak hanya kepada penambahan keluasan tanah sebagaimana nisbah yang dititahkan melalui 7 Wasiat Raja-Raja Melayu kepada 30 peratus daripada keluasan tanah di Semenanjung Malaysia.

Pada pertengahan tahun 2019, telah diadakan satu bengkel dalam merangka satu dasar dalam pembangunan Tanah Rizab Melayu di mana perkara ini telah diminta oleh pihak Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu daripada aspek yang dipertimbangkan untuk dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia ke-12. Bengkel ini telah diadakan di Hotel Blue Wave, Shah Alam dan melibatkan peserta daripada pelbagai sektor, agensi dan pertubuhan Melayu dan Bumiputera di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.

Pelbagai cadangan dan inisiatif yang telah dibincangkan dalam usaha untuk meningkatkan nilai tanah-tanah pemilikan Melayu dan Bumiputera termasuklah Tanah Rizab Melayu.

Di sini juga disertakan unjuran Tanah Rizab Melayu yang bersumberkan kepada pembentangan oleh Datuk Haji Che Roslan Che Daud, Timbalan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan pada 28 Februari 2019.

Berikut adalah keluasan Tanah Rizab Melayu yang diubahsuai :

NEGERI Keluasan (2018) Luas Negeri Nisbah
Hektar % (hektar) %
Perlis      28,609.46 0.65% 79,521.41 35.98%
Kedah    721,779.43 16.51% 942,753.79 76.56%
Kuala Lumpur           997.61 0.02% 24,276.54 4.11%
Negeri Sembilan    226,523.16 5.18% 665,888.26 34.02%
Johor    557,274.92 12.75% 1,899,199.26 29.34%
Pahang    413,065.35 9.45% 3,597,468.43 11.48%
Terengganu           118.22 0.003% 1,295,862.84 0.01%
Kelantan 1,308,686.97 29.93% 1,510,868.72 86.62%
Perak    953,023.78 21.80% 2,101,065.60 45.36%
Selangor    162,162.04 3.71% 793,233.54 20.44%
Jumlah 4,372,240.94 100.00%

Berdasarkan kepada jadual tersebut, Kelantan mencatatkan keluasan Tanah Rizab Melayu yang terbanyak, manakala Terengganu pula mencatatkan peratusan yang terkecil iaitu kurang daripada 1 peratus. Meskipun begitu, Terengganu memiliki keluasan Tanah Pegangan Melayu berkeluasan lebih 60 peratus daripada keluasan negeri. Tanah Pegangan Melayu di Terengganu dijamin di bawah Artikel 90, Perlembagaan Persekutuan bersama-sama tanah kategori pegangan natif yang lain seperti Tanah Adat Melaka, Tanah Adat Negeri Sembilan serta tanah-tanah hak Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Analisis peratusan atau nisbah keluasan Tanah Rizab Melayu jika dibandingkan dengan keluasan negeri pula, Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor mencatatkan peratusan lebih daripada 30 peratus.

Jika mengambil kira keluasan Semenanjung Malaysia (termasuk Negeri-negeri Pulau Pinang dan Melaka) iaitu 1,315,980 kilometer persegi atau bersamaan dengan 13,159,800 hektar, maka nisbah Tanah Rizab Melayu ialah 33.22 peratus.

Keterbatasan mendapatkan sumber atau data yang tepat mengenai Tanah Rizab Melayu di negeri-negeri adalah disebabkan negeri-negeri itu terlibat dalam usaha mengemaskinikan data tersebut.

Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak
Pensyarah Kanan Fakukti Seni Bina, Perancangan dan Ukur UiTM

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net. 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close