Berita Utama

Malaysia perlu demokrasi acuan sendiri, bukan tiru Barat bulat-bulat

Kuasa Raja-Raja dapat selamat kerosakan yang dilakukan politikus

BANGI, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Malaysia boleh mencuba sistem politik negara mengamalkan ‘semi-demokrasi’ mengikut acuan ketimuran dan watan, tanpa meniru bulat-bulat demokrasi Barat, kata Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya. 

Beliau berkata, sistem ‘semi-demokrasi’ bersesuaian dengan wujudnya sistem Raja Berperlembagaan yang terbukti menjadi pengimbang dan penjamin kepada kestabilan politik Malaysia. 

“Sebelum ini saya telah mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong diberikan kuasa yang lebih untuk melantik jemaah menteri daripada kalangan bukan Ahli Parlimen. 

“Kita sendiri dapat lihat hari ini apabila menteri kewangan dan menteri agama dilantik dari kalangan teknokrat dan pakar bidang, maka prestasinya cemerlang malah jauh sekali menjadi bahan politiking. 

“Maka, mereka dapat berkhidmat dengan sangat baik dan aman. Biarlah Ahli-Ahli Parlimen menjadi penggubal undang-undang dan polisi negara melalui sistem Parlimen dan mereka juga dapat fokus untuk berkhidmat kepada rakyat yang diwakili masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Aminuddin turut bersetuju dengan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A Vigneswaran berhubung gesaan supaya kerajaan menarik balik pindaan kontroversial 1993 yang disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Vigneswaran berkata, pindaan itu dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan telah mengurangkan kuasa Raja Melayu, maka kedaulatan Institusi Diraja harus dikembalikan.

“Saya sangat bersetuju dengan gesaan beliau ini kerana memang jelas kita telah saksikan bahawa Yang di-Pertuan Agong sendiri menjadi ‘penyelamat’ kepada kecamukan kemelut politik negara yang berlaku sebelum ini.

“Maka seharusnya segala kuasa yang telah dihakis sebelum ini dikembalikan dan dipertingkatkan supaya peranan Raja-Raja dapat diperkasakan lagi. 

“Kita tidak tahu apa kerosakan yang politikus-politikus akan lakukan pada masa akan datang yang dapat diselamatkan oleh kuasa Raja-Raja,” katanya. 

Justeru, beliau berharap semua pihak terutamanya ahli akademik supaya memperhangatkan lagi perbincangan mengenai saranannya itu. 

“Jika benar ahli-ahli politik sayangkan negara, pasti mereka akan bersama kita semua dalam isu ini.

“Saya tidak menolak bahawa ada kemungkinan pihak yang menentang kuat agenda mempertingkatkan kuasa Raja-Raja ini kerana lontaran idea (belum huraian lagi) saya mengenai hal ini pun ada yang melaporkan kepada pihak polis kononnya saya cuba mencabar dan melemahkan sistem demokrasi negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button