Berita Utama

Mohon Peguam Negara pecat Gopal Sri Ram

Lantikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan daripada Tommy Thomas penyokong PH

BANGI, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Datuk Seri Gopal Sri Ram digesa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, lantikan Gopal adalah cadangan daripada bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang juga daripada Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana Tommy Thomas sudah meletak jawatan, maka moralnya Gopal juga kena letak jawatan.

“Tommy adalah Peguam Negara kepada PH. Dia bukan Peguam Negara kepada ‘negara’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Puad Zarkashi berkata, afidavit bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memujuknya supaya menangkap Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri.

“Gopal adalah jentera konspirasi Mahathir supaya Najib sebagai PM ketika itu ditangkap di pejabatnya.

“Gopal sudah tiada kredibiliti. Kalau dia enggan (meletakkan jawatan), mohon Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun pecat dan siasat Gopal. Menjahanamkan institusi keadilan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, pada Ogos 2018, Jabatan Peguam Negara melantik Datuk Sulaiman Abdullah sebagai peguam mengetuai pihak pendakwaan dalam kes terhadap Najib Razak dan Gopal sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Low Taek Jho atau Jho Low serta bapanya.

Tommy Thomas yang ketika itu menggalas Peguam Negara berkata, Sulaiman yang dilantik mengikut budi bicaranya di bawah Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan Gopal, di bawah Seksyen 376(3) KTJ, bersetuju memberikan khidmat mereka secara ‘pro-bono’ (percuma).

“Dengan pelantikan dua individu terkemuka dalam Majlis Peguam ini, komitmen kami untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia, sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Malaysia, sesungguhnya tidak boleh diragukan lagi.

“Gopal Sri Ram pula adalah mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, yang kembali menyertai bidang amalan guaman dan berpengalaman luas dalam hal perundangan jenayah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close