Berita Utama

PdP dalam talian kurang sambutan, gesa KPM buka sekolah berperingkat

Peratusan murid hadir dalam sesi hanya sekitar 20 hingga 30 peratus

KUALA LUMPUR, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta mengenal pasti tempoh masa yang sesuai untuk membuka sesi persekolahan secara berperingkat, kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan

“Mungkin boleh bermula dengan Tingkatan Empat, kemudian Tingkatan Tiga dan seterusnya. Disebabkan jangkitan COVID-19 sudah beransur pulih, pembukaan sekolah secara berperingkat ini boleh dipertimbangkan.

“Paling utama ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dilaksana.

“Saya rasa sekolah sudah mampu untuk menerima jumlah kehadiran murid lebih ramai,” katanya.

Ustaz Azizee berkata, cadangan itu keranan pelaksanaan PdP dalam talian kurang mendapat sambutan, berikutan peratusan kehadiran murid dalam sesi itu hanya sekitar 20 hingga 30 peratus.

“Penyertaan pelajar amat rendah sekali. Isu utama berkaitan disiplin murid, manakala persoalan capaian internet dan peranti digunakan, masih boleh diselesaikan.

“Apabila kehadiran murid rendah dalam sesi dalam talian, ia akan menjejaskan tumpuan mereka untuk belajar apatah lagi untuk memahami subjek diajar. Jadi, kaedah bersemuka masih menjadi pilihan ketika ini,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan tiga pedagogi PdP yang diperkenalkan NUTP, iaitu segerak, tak segerak dan offline, Ustaz Azizee berkata, ia boleh dilaksana tetapi bergantung kepada kemampuan pihak sekolah dan guru serta penerimaan murid.

“Pelajar di sekolah asrama penuh tidak sama dengan sekolah harian biasa. Mungkin di asrama penuh boleh dilaksana modul PdP bentuk A atau B, tetapi bagi sekolah harian biasa ia tidak sesuai.

“Jadi penentuan kaedah PdP ini amat bergantung kepada keadaan sekolah, murid dan guru. Namun, kepelbagaian bentuk PdP memang digalakkan dan sudah pun dilaksana di kebanyakan sekolah, namun tidak menyeluruh,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close