Berita Utama

Pemabuk ‘bunuh’ manusia dihukum penjara 5 tahun, cukup insafkah?

Rakyat nanti perubahan dari kerajaan, jangan 'lepas batuk di tangga'

BANGI, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Rakyat seluruh negara sedang menanti perubahan besar yang bakal diumumkan kerajaan terhadap pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas individu yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. 

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, rakyat pastinya sangat marah dengan hukuman penjara lima tahun dan denda RM18,000 dikenakan ke atas pemandu mabuk yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan maut pada Mac 2017. 

Tertuduh, Ng Pei Ven, 22, dijatuhkan hukuman berkenaan selepas Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. 

Mahkamah memerintah tertuduh dihukum penjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan, selain membatalkan lesen memandu percubaan dan hilang kelayakan memohon lesen kenderaan selama lima tahun daripada tarikh sabitan. 

“Adakah hukuman sebegini akan cukup untuk menginsafkan? Bagaimana dengan kebajikan keluarga yang kehilangan sumber pendapatan? 

“Saya tidak mahu komen lebih panjang, yang pastinya orang ramai sangat marah,” soal Dr Zainur Rashid dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, rakyat menanti sejauh manakah perubahan yang bakal dibuat kerajaan dalam menangani isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk – yang telah meragut banyak nyawa sejak kebelakangan ini. 

“Harapnya tidaklah sekadar untuk melepaskan batuk di tangga sahaja, wahai pemimpin dan penggubal undang-undang negara. Arak adalah ibu segala kejahatan,” katanya. 

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan akan mengambil langkah segera bagi memastikan cadangan pindaan Akta 333 yang dimuktamadkan Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen dalam tempoh terdekat. 

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close