Berita Utama

Perlu ubah Akta DBP untuk pelihara bahasa Melayu

Tak wajar jika masih ada rakyat tidak mampu kuasai bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam kalangan masyarakat Malaysia terus berdepan cabaran hebat sekiranya usaha penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan itu tidak dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, aspek penguatkuasaan penting bagi memelihara martabat serta pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana amat berkait rapat dengan jati diri sesebuah negara.

Awang berkata, pembudayaan bahasa kebangsaan dengan hanya secara pendekatan ‘dakwah’ melalui gerakan ‘menegur dan menasihati’ seperti diperuntukkan dalam Akta DBP 1959 ketika ini, perlu diubah agar DBP punyai ‘punca kuasa’ mengambil tindakan terhadap pihak tidak menghormati bahasa kebangsaan.

“Dalam konteks bahasa Melayu di Malaysia, kita harus faham walaupun namanya bahasa Melayu namun ia bukanlah untuk keturunan Melayu semata-mata. Bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa negara yang rasmi.

“Semua warganegara Malaysia tidak kira bangsa Cina, India, Kadazan, Murut, orang Sungai, orang Asal dan sebagainya harus melihat bahasa Melayu itu sebagai milik bersama,” katanya kepada Bernama hari ini, selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun DBP ke-64 di Menara DBP, di sini, hari ini.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan membuka ruang besar untuk penggunaan dan pembelajaran bahasa lain tetapi dalam segala urusan, bahasa Melayu wajib digunakan kerana ia adalah bahasa utama yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

“DBP perlu dihormati sebagai benteng peradaban negara. Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas, dalam segala maksud mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Bahasa Melayu belum betul-betul diangkat sebagai bahasa cerminan jati diri negara dalam majlis rasmi, mesyuarat dan pelbagai acara lain jika multilingualisme (pelbagai bahasa) menjadi keselesaan selain membuktikan pembudayaan bahasa negara yang belum utuh,” katanya.

Awang berkata, bahasa Melayu perlu diangkat dalam semua ranah (lingkungan bidang) kehidupan, pentadbiran, pendidikan, undang-undang, media am dan sebagainya dengan penguatkuasaan bahasa secara berterusan, maka salah faham bahasa Melayu adalah milik orang Melayu akan dapat diatasi dan akhirnya terhapus.

“Adalah tidak wajar jika masih ada rakyat yang tidak mampu menguasai bahasa Melayu. Penguatkuasaan mungkin perlu seperti ujian kelayakan kecekapan bahasa bagi mendorong rakyat menguasainya dengan pemahaman serta keupayaan mengucapkannya dalam bahasa rasmi itu, ” katanya.

Selama lebih enam dekad DBP melaksanakan perancangan bahasa, khususnya dalam bidang pembinaan dan pengembangan, selepas bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan pendidikan serta bahasa bagi semua bidang peradaban negara.

Awang berkata draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memberi kuasa DBP menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan Bahasa Melayu itu dijangka akan di bawa ke Kabinet untuk kelulusan seterusnya dibentangkan di Parlimen. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button