Berita Utama

SPRM kemuka rayuan kes lucut hak RM194 juta terhadap 4 entiti

Tempoh rayuan diberikan 2 minggu daripada tarikh keputusan mahkamah

BANGI, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah RM194 juta didakwa berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, permohonan rayuan akan difailkan oleh pihak pendakwaan terhadap empat entiti iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Wanita MCA, Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd. 

“Tempoh rayuan yang diberikan adalah dua minggu daripada tarikh keputusan mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kerajaan untuk melucut hak wang UMNO, Wanita MCA, Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd berjumlah RM194 juta didakwa berkaitan 1MDB. 

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamed Zaini Mazlan selepas mendengar hujah yang dibangkitkan sewaktu perbicaraan. 

Menurut peguam, antara hujah yang dikemukakan ialah wang yang disita SPRM itu bukan dana awam atau 1MDB dan tiada sebarang keadaan khas yang membolehkan mahkamah menggantung keputusan menolak pelucutan hak itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button