Berita Utama

Syor tangguh buka prasekolah, tadika

Kekangan infrastruktur untuk penuhi SOP ditetapkan kerajaan

KUALA LUMPUR, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta agar kerajaan menangguhkan pembukaan prasekolah dan tadika yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Presiden NUTP Aminudin Awang berkata, pihaknya mendapati kebanyakan prasekolah dan tadika belum bersedia untuk beroperasi berikutan kekangan infrastruktur dalam memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Kemudahan dimiliki setiap prasekolah ini biasanya tidak sama, contohnya ada yang dua kelas, dan bila dilaksanakan jarak sosial, akan berlaku masalah seperti tidak mampu menampung jumlah murid, ” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan untuk membenarkan prasekolah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai ini, tertakluk kepada SOP ditetapkan.

Sementara itu, Aminudin berkata NUTP mencadangkan beberapa kaedah bagi membantu guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kebiasaan baharu berikutan COVID-19.

Aminudin berkata, kaedah yang dinamakan Model Pedagogi Penjarakan Sosial itu merupakan hasil penyelidikan pakar pendidikan dari Universiti Malaya dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Menerusi kaedah ini, guru perlu cerakinkan topik mata pelajaran mengikut kesesuaian dan kepentingan, sama ada akan diajar menerusi platform dalam talian, secara bersemuka ataupun menerusi sistem yang boleh diakses ketika pelajar mempunyai talian internet,” katanya.

Aminudin berkata, pembelajaran dalam kebiasaan baharu memerlukan gabungan kedua-dua kaedah pembelajaran dalam talian dan luar talian memandangkan kekangan akses internet di kawasan tertentu.

“Ada segelintir topik tetap memerlukan guru mengajar secara bersemuka, ada yang boleh diajar secara langsung seperti menerusi persidangan web yang memerlukan guru dan murid mempunyai akses internet serentak pada masa yang sama.

“Namun bagi mengatasi masalah akses internet ini, sistem pengurusan pembelajaran seperti Google Classroom dan Moodle ataupun YouTube boleh digunakan kerana ia boleh dirujuk pelajar pada bila-bila masa ada jaringan internet,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata proses pembelajaran tanpa jaringan internet menggunakan bahan digital seperti CD-ROM atau flash drive yang telah dimuat turun dalam peranti juga perlu diguna pakai.

Tambah beliau, pemberian tugasan menerusi platform mesej WhatsApp, Telegram atau e-mel juga boleh menjadi kebiasaan baharu dalam berkomunikasi antara guru dan pelajar.

“Justeru, kami bersedia untuk menganjurkan bengkel dalam memberi latihan kepada guru-guru untuk praktik semua kaedah baharu ini bermula Julai ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close