Berita Utama

Tak munasabah guna alasan COVID-19, jangan hasut tolak jawi

Jawi mengikut Akta Bahasa Kebangsaan ialah tulisan bahasa Melayu

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berhubung isu tulisan jawi di sekolah vernakular mendapat tentangan pelbagai pihak.

Hang Soong yang juga Timbalan Presiden MCA sebelum ini berkata, pihaknya masih belum mempunyai kata putus berkaitan pembelajaran jawi pada tahun hadapan.

Beliau mendakwa, wabak COVID-19 telah menyebabkan sesi persekolahan terhenti dan dalam tempoh itu, sebahagian kerja-kerja di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tertangguh.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, hujah Hang Soon kononnya tulisan jawi tidak wajar diajar disebabkan oleh COVID-19 tidak relevan sama sekali.

Katanya, MCA juga tidak wajar menjadikan tulisan jawi sebagai isu perkauman kerana bahasa Melayu adalah bahasa milik semua warganegara Malaysia.

“MCA juga sepatutnya menyokong dan membantu penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar Cina yang juga warganegara Malaysia, bukan menghasut mereka supaya menolak tulisan jawi,” tegasnya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Awang Sariyan yang juga Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, pembelajaran tulisan jawi sebelum ini tidak pernah menjadi masalah dalam kalangan orang Cina dan kaum-kaum lain.

Beliau berkata, ramai orang Cina yang menggunakan tulisan jawi bagi memudahkan hubungan komunikasi, termasuk Kapitan Yap Ah Loy, pembuat batu nisan, pengiklan, peniaga, ahli akademik dan golongan mahasiswa.

“Tulisan jawi, menurut Akta Bahasa Kebangsaan ialah tulisan bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan meliputi sistem ejaan rumi dan jawi, sistem sebutan, sistem tatabahasa, sistem kosa kata (termasuk istilah),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button