Berita Utama

Cadangan semidemokrasi tak bercanggah Perlembagaan: Pakar

Saranan Presiden ISMA untuk cari jalan polemik dalam negara

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 2 Zulkaedah 1441H, Rabu – Cadangan supaya Malaysia mencuba sistem politik yang mengamalkan ‘semidemokrasi’ mengikut acuan ketimuran dan watan tidak bercanggah dengan Perlembagaan, kata Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof.

Terdahulu, Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sistem semidemokrasi bersesuaian dengan wujudnya sistem Raja Berperlembagaan yang terbukti menjadi pengimbang dan penjamin kepada kestabilan politik Malaysia.

Bersetuju dengan cadangan itu, Dr Fathi yang juga pakar Perlembagaan berkata, langkah berkenaan adalah berteras kepada satu ruang yang dibenarkan di dalam sistem kerajaan yang ada sekarang iaitu pelantikan menteri dari kalangan senator.

“Soalan sama ada perkara itu wajar atau tidak adalah persoalan yang lain.

“Tetapi cadangan itu salah satu proses percambahan fikiran bagi meneliti dan menilai masalah yang dihadapi oleh negara dan mencari jalan penyelesaian yag terbaik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa laman web Freedom House yang menyediakan peta kebebasan telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang hanya memberikan sebahagian kebebasan dan belum bebas sepenuhnya, tidak seperti negara-negara demokrasi lain.

“Kalau dilihat daripada laman web berkenaan, kita boleh faham bahawa konsep semidemokrasi dari sudut realiti sedang berjalan dan akan menjadi sebahagian sistem dalam negara kita.

“Tetapi ini tertakluk kepada bagaimana kita menterjemah atau mentafsir konsep demokrasi atau semidemokrasi itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan seorang aktivis yang membuat laporan polis terhadap Haji Aminuddin apabila mencadangkan sistem semidemokrasi ini, Dr Fathi menyifatkan individu berkenaan jahil mengenai hak asasi rakyat untuk bersuara.

Katanya, Haji Aminuddin mempunyai hak untuk memberi cadangan dan pandangan.

Beliau berkata, pandangan yang diutarakan oleh Presiden ISMA masih berada dalam lingkungan semangat Perlembagaan dalam negara, yakni berkonsepkan Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Beliau sekadar memberi pandangan agar peranan golongan teknokrat dan professional diberi kedudukan lebih tinggi berbanding sekarang melalui kaedah yang berjalan di dalam negara, iaitu dengan melantik senator dan senator itu juga perlu dilantik sebagai menteri.

“Malah, cadangan Presiden ISMA adalah bagi mencari jalan terhadap konflik dan polemik yang berlaku dalam negara kita dan ia adalah sebahagian kebebasan rakyat untuk memberi pandangan dan cadangan dalam kebebasan bersuara dalam negara kita,” katanya.

https://ismaweb.net/2020/06/23/malaysia-perlu-demokrasi-acuan-sendiri-bukan-tiru-barat-bulat-bulat/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close