Berita Utama

Kerajaan PN paling tidak stabil dalam sejarah: Dr Mahathir

Hanya miliki majoriti tiga kerusi dalam Dewan Rakyat

BANGI, 23 Jamadilawal 1442H, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan paling tidak stabil dalam sejarah Malaysia.

Ini kerana katanya, kerajaan PN hanya memiliki majoriti tiga kerusi sahaja dalam Dewan Rakyat.

“Kalau dua orang (ahli Parlimen) sahaja lompat masuk Pakatan Harapan (PH) saya ingat kerajaan PN akan jatuh.

“Ini menyebabkan kerajaan tidak boleh tumpu kepada pemerintahan sebaliknya sepanjang masa guna (kekuatan) untuk pertahan diri supaya tidak jatuh,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengkritik sistem keadilan yang diamalkan kerajaan PN ketika ini kerana didakwa bersifat ‘double standard’.

Katanya, perkara itu terbukti apabila PN dapat didaftarkan hanya dalam tempoh tujuh hari berbeza dengan Pejuang yang masih belum diluluskan walaupun telah lama membuat permohonan.

“Sebenarnya PN berlagak sebagai kerajaan tanpa pendaftaran sebab tidak ada tindakan dikenakan (kepada mereka).

“Tetapi bila kami cuba bergerak sebagai Pejuang tanpa pendaftaran, maka mereka nak ambil tindakan undang-undang. Inilah keadilan kerajaan Muhyiddin Yassin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button