Berita Utama

Tun M ugut keluar PH Plus, cita-cita Anwar jadi PM makin tipis

Konflik PH bukti wajah hipokrasi untuk dapat kuasa semata-mata

BANGI, 2 Zulkaedah 1441H, Rabu – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sangat agresif dalam merebut kuasa dianggap sebagai sangat mendukacitakan kerana pada usia yang demikian beliau masih mendahagakan kuasa.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kemahuan luar biasa Dr Mahathir akan jawatan Perdana Menteri menimbulkan pelbagai persoalan.

“Apakah ada janji-janji tertentu kepada pihak korporat atau kroni yang masih belum ditunaikan sehingga beliau terpaksa mendapatkan jawatan Perdana Menteri untuk melunaskannya?,

“Mustahil tidak ada figura lain dalam Pakatan Harapan untuk dikehadapankan sebagai calon Perdana Menteri,” kata Aminuddin dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) Plus selepas PKR menolak cadangan beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Malahan, kata Mahathir, beliau tidak akan lagi menghubungi PKR ataupun Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai soal kerjasama antara kedua-dua parti.

“Sebaliknya, saya akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah,” dakwa Ahli Parlimen Langkawi itu. 

Haji Aminuddin berkata, kenyataan Dr Mahathir itu ibarat tamparan yang besar kepada pakatan pembangkang. 

Keputusan itu sememangnya akan menjadikan peluang Anwar untuk mencapai ‘cita-cita tertingginya’ untuk menjadi Perdana Menteri semakin tipis. 

“Kesanggupan DAP dan PAN untuk menyokong Tun Mahathir dan menyisihkan Anwar adalah sesuatu yang menarik untuk direnung dan difikirkan kerana sudah terlalu lama DAP dan pimpinan PAN penjadi pendukung tegar Anwar. 

“Ini menjadi bukti wajah hipokrasi mereka semata-mata untuk mendapatkan kuasa dan kepentingan mereka sahaja. Persoalan yang lebih menarik ialah, apakah sebenarnya strategi Tun Mahathir selepas ini? 

“Apakah beliau akan benar-benar berjaya menjadi Perdana Menteri semula? Tun memang terkenal dengan kejutan-kejutannya dalam politik yang tidak ada seorang pun dapat menduganya,” katanya.

Lebih merunsingkan lagi, apabila persoalan sama ada akan terwujudnya gabungan baharu yang bakal meruntuhkan Perikatan Nasional dan menaikkan semula DAP dan konco-konconya belum dijawab.

“Apa pun boleh berlaku kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh sahaja beralih sokongan kerana mereka adalah ‘king maker’,” katanya.

Walau apa pun keadaan ketika ini, Aminuddin berharap agar rakyat dapat menolak amalan politik sebegini dengan melihat kepada alternatif lain.

“Mungkin satu bentuk, entiti, gerakan ataupun tokoh politik yang baharu (tidak semestinya parti baharu) untuk meruntuhkan apa jua bentuk monopoli politik yang sebenarnya tidak sihat untuk kestabilan negara,” katanya.

BACA PENUH DI RUANGAN PENDAPAT

https://ismaweb.net/2020/06/24/rebut-jawatan-pm-politik-negara-bukan-hak-milik-sesiapa/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button