Berita Utama

Had jemaah haji, Malaysia sambut baik pendirian Arab Saudi

Keputusan Riyadh bertepatan Maqasid Syariah - pemeliharaan nyawa

BANGI, 2 Zulkaedah 1441H, Rabu – Malaysia menyambut baik pendirian kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan ibadah haji tahun ini diteruskan, namun terhad kepada rakyatnya serta rakyat negara-negara Islam yang sememangnya berada di Arab Saudi. 

Perkara itu dinyatakan Putrajaya dalam satu kenyataan bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini. 

Menerusi kenyataan itu, kedua-dua menteri berkenaan memaklumkan menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat masing-masing dari Arab Saudi berhubung keputusan mengenai pelaksanaan ibadah haji 1441H. 

“Pada Isnin, 22 Jun 2020; Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menerima panggilan telefon daripada Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud. 

“Manakala semalam, 23 Jun 2020; Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga menerima panggilan telefon daripada Shaikh Abdullatif Abdulaziz Aal Al Shaikh, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Haji dan Umrah Arab Saudi,” kata kenyataan itu. 

Menurut Hishammuddin dan Dr Zulkifli, pendirian kerajaan Arab Saudi itu bukan sahaja menggambarkan kecaknaan Khadimul Haramain al-Sharifain Raja Salman bin Abdulaziz dan Kementerian Haji dan Umrah terhadap umat Islam seluruh dunia, malah ia juga bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa). 

“Berhubung perkara ini, Menteri Luar Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berjanji akan sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan Arab Saudi khususnya dengan rakan sejawat masing-masing bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi diberi keutamaan sekiranya kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan ibadah haji secara terhad ini. 

“Kedua-dua menteri juga ingin mengajak seluruh umat Islam di Malaysia mendoakan semoga wabak COVID-19 segera beransur hilang dari bumi Arab Saudi, Malaysia dan seluruh dunia. 

“Dan marilah kita doakan semoga ibadah haji tahun hadapan dapat dijalankan sebagaimana sebelum ini,” katanya. 

Terdahulu, Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan hanya kira-kira 1,000 jemaah sedia ada di negara itu untuk menunaikan haji tahun inj, dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19. 

Bilangan itu jelas merudum berbanding 2.5 juta jemaah yang menunaikan ibadah haji pada tahun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button