Berita Utama

Kerajaan digesa perjuang ekonomi Melayu, Bumiputera

Ambil langkah radikal WKB 2030 jika mahu ubah ekonomi negara

BANGI, 2 Zulkaedah 1441H, Rabu – Kelembapan ekonomi susulan pasca pandemik COVID-19 bakal mengakibatkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin semakin bertambah, pastinya orang Melayu dan Bumiputera yang paling terkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, masalah sistemik yang membantutkan dan pembangunan ekonomi Melayu dan Bumiputra masih wujud seperti biasa dan belum ada tindakan konkrit dari kerajaan. 

Katanya, demi kelestarian negara, usaha agenda Bumiputera perlu terus diperjuang untuk pastikan kemakmuran dan pembangunan dikecapi bersama secara saksama dan adil. 

Beliau menegaskan, selepas lebih tahun 50 tahun, pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB), kedudukan ekonomi Bumiputera masih belum boleh dibanggakan atau menjadi seperti yang diharapkan. 

“Mengikut data terkini, kebanyakan daripada Bumiputera umumnya adalah hanya pekerja dan pengguna. 

“Justeru, mereka umumnya bukan majikan atau penjana pekerjaan; bukan juga producers (pembuat) dan bukan penjana peluang-peluang hiliran untuk vendor dan SME. 

“Pendek-kata, Bumiputera tidak banyak menghasilkan nilai- tambah pada ekonomi Malaysia kecuali dari bidang pekerjaan. Tidak banyak nilai-tambah dalam sektor perniagaan dan pelaburan,” katanya.

Dari segi pendapatan kasar (GOS) perniagaan dan pelaburan pula, Ahmad Yazid berkata, Bumiputera pada tahun 2014 menyumbang hanya RM124 billion sahaja – yang mana RM43 billion adalah datang dari peniaga-peniaga kecilan.

“Untuk perspektif dan perbandingan, masyarakat Bukan-Bumiputera dalam perniagaan dan pelaburan pada tahun sama (2014) menyumbang sebanyak RM 397 billion. Lebih tiga kali ganda nilai yang dijana oleh Bumiputera!

“Hakikatnya selepas DEB, tidak ada lagi program yang cukup berkesan dengan kadar yang luar biasa. Kekayaan hanya kekal berlegar di kalangan yang terpilih sekian lama,” katanya.

Berikutan itu, rakyat menaruh harapan pada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai usaha permulaan untuk mengenal pasti keadaan dan hala tuju Bumiputera. 

Ahmad Yazid mengesyorkan kerajaan untuk mengambil langkah radikal berlandaskan WKB 2030 jika benar mahu mengubah ekonomi negara dan pencapaian ekonomi orang Melayu dan Bumiputera. 

“Fasa ‘reform & revitalise’ yang dicanangkan oleh Kementerian Kewangan perlu digerakkan dengan naratif WKB2030. 

“Kita tidak boleh tidak mensia-siakan peluang untuk mengurangkan jurang kekayaan dan penguasaan ekonomi Bumiputera dengan yang lain.

“…dan pada masa yang sama dapat memastikan adanya pembangunan ekonomi yang pesat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan daerah,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan dituntut supaya mempunyai semangat dan keberanian untuk benar-benar memperjuangkan agenda ekonomi Melayu dan Bumiputera seperti waktu zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dahulu pada tahun 70-an. 

“Kaedah mungkin berbeza tapi semangat dan impak mestilah lebih baik lagi. Insya-Allah, kami yakin kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan mengecewakan!,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button