Berita UtamaDunia

Mesir longgar perintah berkurung meskipun kes meningkat

Kelonggaran sekatan akan ditarik balik jika rakyat ingkar peraturan

KAHERAH, 2 Zulkaedah 1441H, Rabu – Mesir akan menamatkan perintah berkurung waktu malam yang mula dilaksanakan sejak 25 Mac untuk mengekang penyebaran coronavirus. 

Kerajaan melonggarkan sekatan dengan membenarkan restoran, kafe, dan tempat-tempat beribadat dibuka semula Sabtu ini dengan dihadkan jumlah kunjungan, kata pemerintah.

Langkah-langkah baru itu dilaksanakan walaupun Mesir mengalami peningkatan kes baru dalam beberapa minggu terakhir – dengan jangkitan yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan – meningkat menjadi 56,809, termasuk 2,278 kematian.

Perdana Menteri, Mostafa Madbouly mengakui jumlah kes COVID-19 meningkat ketika beliau mengumumkan langkah-langkah berkenaan, semalam. 

Restoran dan kafe akan beroperasi dengan kapasiti 25 peratus dan ditutup pada jam 10 malam mulai Sabtu, sementara masjid dan gereja akan dibuka untuk solat setiap hari tetapi tidak dibenarkan berhimpun pada hujung minggu membabitkan orang ramai, kata Madbouly.

Pawagam dan teater juga akan dibuka semula dengan kapasiti 25 peratus.

Pantai dan taman awam akan ditutup dan pengangkutan awam akan dihentikan operasi dari tengah malam hingga 4 pagi.

Keputusan untuk melonggarkan sekatan tersebut akan dibatalkan sekiranya rakyat tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan, kata Madbouly.

Mesir memberi bayangan akan membuka semula semua lapangan terbang bagi lalu lintas antarabangsa dan membuka pusat peranginan utama untuk pelancong asing pada 1 Julai. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close