Berita Utama

Pegawai Imigresen ditahan terbabit sindiket seludup warga asing

Sedia khidmat cap keluar masuk JIM palsu, bayar RM1,500 - RM2,500

JOHOR BAHRU, 2 Zulkaedah 1441H, Rabu – Polis menahan seorang pegawai kanan dan dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 48 tahun itu ditahan di Terminal Feri Pasir Gudang, di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket berkenaan disyaki menyediakan perkhidmatan cap keluar masuk JIM palsu untuk kegunaan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, kadar bayaran sebanyak RM1,500 sehingga RM2,500 dipercayai dikenakan bagi setiap warga asing.

“Setibanya di Terminal Feri Pasir Gudang, pergerakan warga asing yang menggunakan cap disyaki palsu itu akan diuruskan pegawai imigresen yang bersekongkol dengan sindiket bagi menguruskan pergerakan pulang ke negara asal (Indonesia),” katanya.

Ayob Khan berkata, kegiatan sindiket penyeludupan keluar warganegara Indonesia melalui Terminal Feri Pasir Gudang ke Batam Center, Indonesia, telah bergiat aktif bermula awal Mei lepas semasa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Beliau berkata, mereka kini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dengan mengguna pakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Selain mereka, katanya seorang anggota polis marin berumur 41 tahun yang bertugas di Markas Operasi Pasukan Marin, Putrajaya turut ditahan pada 19 Jun lepas kerana disyaki terlibat dengan kegiatan sindiket penyeludupan warga asing sejak 2017.

Beliau berkata, suspek terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 130V hingga 130ZB Bab 6B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dengan menggunakan pakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Dengan penahanan kesemua suspek baharu berkenaan, menurutnya pihaknya kini secara keseluruhan telah menahan 14 pegawai dan anggota polis, lima (Angkatan Tentera Malaysia) serta tiga (JIM) yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan warga asing khususnya di pantai timur negeri ini. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close