Berita UtamaIstimewa

Rebut jawatan PM: Politik negara bukan hak milik sesiapa

Apakah ada janji kepada korporat atau kroni yang belum ditunai?

KENYATAAN Tun Mahathir yang menzahirkan pengundurannya dari Pakatan Harapan ‘plus’ (PH+) ini semestinya menjadi tamparan yang besar kepada pakatan pembangkang. Semestinya, peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencapai ‘cita-cita tertingginya’ untuk menjadi Perdana Menteri semakin tipis.

Kesanggupan DAP dan AMANAH untuk menyokong Tun Mahathir dan mensisihkan Anwar adalah sesuatu yang menarik untuk direnung dan difikirkan kerana sudah terlalu lama DAP dan pimpinan AMANAH penjadi pendokong tegar Anwar. Ini menjadi bukti wajah hipokrasi mereka semata-mata untuk mendapatkan kuasa dan kepentingan mereka sahaja.

Persoalan yang lebih menarik ialah, apakah sebenarnya strategi Tun Mahathir selepas ini? Apakah beliau akan benar-benar berjaya menjadi Perdana Menteri semula? Tun memang terkenal dengan kejutan-kejutannya dalam politik yang tidak ada seorang pun dapat menduganya.

Lebih merunsingkan kita ialah, apakah akan wujud gabungan baharu yang bakal meruntuhkan Perikatan Nasional dan menaikkan semula DAP dan konco-konconya? Apa pun boleh berlaku kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh sahaja beralih sokongan kerana mereka adalah ‘king maker’.

Apa-apa pun, tindakan Tun Mahathir yang sangat agresif dalam merebut kuasa ini sangat mendukacitakan kerana pada usia yang demikian beliau masih dahagakan kuasa dan kita tidak tahu mengapa sebab sebenarnya. Mustahil tidak ada figura lain dalam Pakatan Harapan untuk dikehadapankan sebagai calon Perdana Menteri. Apakah ada janji-janji tertentu kepada pihak korporat atau kroni yang masih belum ditunaikan sehingga beliau terpaksa mendapatkan jawatan Perdana Menteri untuk melunaskannya?

Saya harap agar rakyat dapat menolak amalan politik sebegini dengan melihat kepada alternatif lain, mungkin satu bentuk, entiti, gerakan ataupun tokoh politik yang baharu (tidak semestinya parti baharu) untuk meruntuhkan apa jua bentuk monopoli politik yang sebenarnya tidak sihat untuk kestabilan negara.

Monopoli dalam politik akhirnya akan menutup peluang-peluang baharu dan akan menahan kita dari maju ke hadapan. Kita akan asyik terperangkap dengan orang-orang yang sama dan kerangka politik lama yang sempit. Mereka ini datang sekali dengan segala ‘karenah dinosaur’ mereka yang akhirnya membuatkan kita ‘tutup sebelah mata’ sahaja.

Politik negara perlukan perubahan. Politik bukan milik mana-mana individu atau parti semata-mata, baik pihak PN, PH atau sesiapa pun. Sampai bila kita mahu memundurkan diri kita sebegini?

Perubahan ini bermula (bukan hanya) dari diri kita sendiri, iaitu rakyat; dalam menilai dan memahami politik dengan rasional mengikut kerangka kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Bukannya kepentingan parti semata-mata.

Wallahu’alam.

Haji Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Rujukan:

Saya perlu cari jalan lain untuk jadi PM – Dr Mahathir

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close