Berita Utama

Sekolah ada kes COVID-19 boleh diarah tutup

Bawa pesakit ke hospital, kontak rapat juga akan disaring

PUTRAJAYA, 2 Zulkaedah 1441H, Rabu – Sekolah yang ada merekodkan kes positif COVID-19 dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan boleh diarah tutup, kata Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Azmi Ghazali.

Beliau berkata tindakan itu merupakan antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penularan wabak itu dalam komuniti dapat dikawal.

“Kalau ada kes positif, kita akan bawa pesakit ke hospital untuk rawatan dan kontak rapat juga akan disaring sama ada di sekolah atau rumah. Saya percaya kalau berlaku di sekolah, ia akan ditutup buat sementara waktu,” katanya.

Azmi berkata demikian kepada media selepas meluangkan masa hampir sejam bagi meninjau perjalanan dan pematuhan SOP sempena hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1), di sini, hari ini.

Sesi persekolahan melibatkan pelajar yang mengambil peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara, dimulakan semula hari ini.

Sebelum ini, sesi persekolahan ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Azmi berkata, KKM akan menyemak semula SOP yang dipraktikkan sepanjang tiga hari pertama persekolahan yang bermula hari ini.

“Jadi Sabtu, Ahad adalah tempoh untuk kita lihat kembali SOP yang digunakan ini ‘okay’ atau tidak ataupun perlu pertingkatkan. Jika semuanya lancar, kementerian akan memutuskan bagaimana pelajar lain boleh kembali ke sekolah,” katanya.

Bagi memastikan sekolah mematuhi SOP, beliau berkata KKM bersama Kementerian Pendidikan dan pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut.

Mengenai pelaksanaan SOP di SMK Putrajaya Presint 11 (1) itu, Azmi berkata ia dilaksanakan dengan baik termasuk pengambilan suhu dan sanitasi, laluan jalan, susunan meja dalam kelas, pengendalian waktu rehat dan kaedah prapesanan makanan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button