UMNO dayus jika turut saja permintaan MCA
Orang Melayu sudah serik dengan wakil rakyat MCA

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 2 Zulkaedah 1441H, Rabu – Sudah-sudahlah MCA menagih kononnya ‘kerusi tradisi’ di kawasan majoriti Melayu, walhal menjadi hak calon Melayu dan Islam, kata Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Azizah Che Awang.
Parti berasaskan kaum itu sebaliknya digesa menjadi ‘kuda jantan’ kepada bangsa sendiri dengan bertanding di kerusi Parlimen majoriti Cina pada pilihan raya akan datang, katanya.
Azizah berkata, orang Melayu sudah serik dengan wakil rakyat MCA yang langsung tidak mengangkat agenda Melayu dan Islam selepas menang di kerusi majoriti Melayu.
Lebih malang mereka bersikap seperti ‘melepas anjing yang tersepit’ apabila memaksa UMNO memberi kerusi yang didakwa sebagai tradisi parti berkenaan.
“Padahal, MCA ada hanya satu kerusi Parlimen dimenangi dalam PRU14, apa yang disaksikan ‘track record’ kemenangan yang teruk.
“Apa yang UMNO terhutang budi sangat dengan MCA sehingga menurut sahaja permintaan MCA.
“Dayuslah semua pemimpin UMNO sehingga tidak dapat melihat hayunan yoyo mereka yang sentiasa mengutamakan bangsa mereka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pertikaian yang wujud dalam Barisan Nasional (BN) apabila MCA berkeras mempertahankan kerusi Tanjung Malim – sama seperti Tanjung Piai – kononnya kawasan ‘tradisi’ parti itu, selepas UMNO menyuarakan hasrat meletakkan calonnya pada PRU15.
Ketua MCA bahagian Tanjung Malim, Goh Choong Seng berkata, parti itu akan tetap mengemukakan calon meskipun peratusan pengundi Melayu lebih tinggi berbanding kaum lain.
Mengulas lanjut, Azizah berkata, rakyat tidak buta melihat kelicikan permainan politik pemimpin MCA.
Selama ini pendirian mereka banyak mengguris perasaan orang Melayu seperti isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sekolah vernakular, katanya.
“Bukalah ufuk minda, carilah jalan untuk sepakat dengan parti-parti Melayu Islam bukan setakat UMNO dan PAS sahaja.
“Begitu juga di kalangan pegawai kerajaan yang berkaliber dan profesional termasuklah NGO yang bersedia membantu membangunkan negara mengikut acuan kita.
“Wanita BERJASA menyeru pemimpin UMNO jadilah pemimpin wibawa, berani, amanah dan adil, menjiwai masalah rakyat terutama masalah anak muda.
“Saya yakin kepercayaan rakyat akan diperolehi dan diterjemahkan pada kertas undi di PRU15 akan datang,” katanya.