Berita Utama

Bersangka baik dengan Allah

Banyak mana dosa, jangan pernah putus asa kembali pada Allah

1. AL-IMAM Ibn al-Jauzi merekodkan satu insiden penting tentang pandangan Khalifah Umar Abdul Aziz terhadap al-Hajjaj bin Yusuf al-Saqafi. Al-Hajjaj adalah gabenor yang zalim dimata kebanyakan penulis sejarah.

2. Al-Hajjaj dikatakan mengetuai misi ketenteraan bagi memerangi sahabat yang ternama iaitu Abdullah bin al-Zubayr. Kematian Abdullah bin al-Zubayr dalam insiden yang tragis itu menimbulkan lebih kuat kebencian terhadap al-Hajjaj.

3. Namun dalam gambaran kezaliman yang dipotretkan oleh lembaran sejarah, terdapat perkara positif yang pernah diungkapkan oleh Umar Abdul Aziz tentang al-Hajjaj. Pertama, Umar Abdul Aziz pernah berasa jealous terhadap kecintaan al-Hajjaj terhadap al-Quran. Kata Umar Abdul Aziz:

ما حسدت الحجاج ، عدو الله ، على شيء حسدي إياه على حبه القرآن ، واعطائه أهله

“Aku tidak pernah merasa dengki terhadap al-Hajjaj (musuh Allah) melainkan terdapat beberapa perkara yang aku cemburu terhadapnya iaitu: Kecintaannya terhadap al-Quran dan pemberiannya terhadap ahli-ahli al-Quran.” (Ibn al-Jauzi, Sirah Umar Abdul Aziz)

4. Malah apa yang lebih menarik lagi, al-Hajjaj sangat bersangka baik dengan Allah. Beliau tetap memohon agar Allah mengampunkan dosanya sekalipun manusia menyangkakan Allah tidak akan mengampunkan dosanya. Inilah yang diceritakan oleh Umar Abdul Aziz yang menceritakan tentang saat kematian al-Hajjaj. al-Hajjaj dikatakan berdoa ketika dihujung nyawanya:

اللهم اغفر لي ، فإن الناس يزعمون أنك لا تفعل

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, sesungguhnya manusia menyangkakan bahawa engkau tidak akan berbuat demikian (iaitu tidak akan mengampunkan dosaku). (Ibn al-Jauzi, Sirah Umar Abdul Aziz)

5. Perhatikan di sini dua sifat utama yang disebutkan oleh Umar Abdul Aziz tentang al-Hajjaj. Sekalipun beliau diungkapkan sebagai gabenor yang zalim, terdapat dua perkara yang dipuji oleh Umar kepadanya iaitu sikap dia menyayangi dan berkhidmat buat al-Quran, serta al-Hajjaj sangat bersangka baik dengan Allah.

6. Ingatlah, banyak mana dan besar mana sekalipun dosa kita dengan Allah, jangan pernah putus asa untuk kembali kepada Allah. Dan al-Quran adalah jalan yang terbaik untuk kita mendekatkan diri kepada Allah. Kembali kepada Allah, perbanyakkan membaca dan menghayati al-Quran dan jangan jemu berkhidmat buat al-Quran.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close