Berita Utama

Calon muslim wibawa jauh lebih baik dari ‘kafir adil’

Dominasi suara kita dalam isu Melayu dan Islam makin lemah

BANGI, 3 Zulkaedah 1441H, Khamis – Seorang muslim berwibawa pastinya lebih baik daripada pemimpin Islam yang apologetik, malah jauh lebih baik daripada seorang ‘kafir yang adil’, kata Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya. 

Beliau menjelaskan, seadil-adil seorang kafir, jika dia berkata ‘tidak’ kepada agenda Islam dan Melayu, sudah tentu ramai akan mengatakan itu haknya sebagai seorang bukan Islam untuk tidak bersetuju. 

Menegaskan bahawa calon muslim jauh lebih baik, Aminuddin berkata, menjadi tugas parti-parti Melayu untuk berbincang bagi mencalonkan calon muslim yang terbaik untuk kawasan-kawasan majoriti Melayu dan Islam. 

“Saya pasti bahawa parti-parti Melayu terutamanya UMNO tertekan dengan tuntutan-tuntutan ‘test water’ sebegini. 

“Maka, menjadi tanggungjawab akar umbilah untuk bersuara melawan arus dan naratif ‘nakal’ MCA dan MIC,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan MIC Perak ke atas tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diserahkan kepada UMNO pada dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini. 

Tiga kerusi DUN itu adalah Behrang, Pasir Panjang dan Hutan Melintang yang telah diberi laluan kepada calon UMNO pada PRU13 dan PRU14. 

Menurut Aminuddin, ketiga-tiga kawasan yang dituntut MIC itu mempunyai majoriti pengundi Melayu, di mana 75 peratus di Pasir Panjang, Behrang (62 peratus) dan 54 peratus di Hutan Melintang. 

“Saya semakin syak memang pilihan raya umum sudah sangat dekat kerana masing-masing sudah mula tuntut-menuntut dan tawar-menawar kerusi untuk ditandingi pada PRU15 ini.

“Saya pasti, ini merupakan perancangan rapi parti-parti bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN) untuk cepat-cepat ‘secure’ sebanyak mungkin kerusi majoriti Melayu sebelum UMNO berunding dengan BERSATU dan PAS,” katanya. 

Beliau berkata, MCA dan MIC akan selamanya menagih undi orang Melayu yang setia pada ‘lambang dacing’, kerana terbukti apabila dua parti berkenaan gagal menang di semua kerusi bukan majoriti Melayu. 

“Saya mahu ingatkan lagi, dominasi suara kita dalam isu-isu Melayu dan Islam di Parlimen mahupun DUN semakin lemah kerana sekurang-kurangnya dua faktor; semakin ramainya wakil rakyat Melayu yang apologetik dan semakin ramainya wakil rakyat bukan Islam. 

“Kedua-dua golongan ini akan sama ada berdiam diri, ataupun akan menentang agenda tersebut di sidang Parlimen atau DUN. 

“Maka, formula mengetengahkan calon muslim berwibawa dapat menyelesaikan kedua-dua masalah ini,” katanya. 

Justeru, Aminuddin menggesa rakyat di peringkat akar umbi terutamanya di kawasan majoriti Melayu supaya berpakat antara satu sama lain supaya parti politik Melayu meletakkan calon muslim pada PRU15 nanti. 

“Akar-akar umbi masyarakat Melayu adalah pengundi, maka anda berkuasa juga membuat tuntutan. 

“Gerakkan persatuan dan NGO yang ada di akar-akar umbi untuk tujuan ini. Gerakkan juga kempen daftar mengundi terutamanya dalam kalangan anak muda,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button