Berita Utama

Mah Hang Soon dikecam netizen guna logo KPM sesuka hati

Timbalan Menteri Pendidikan 1 angkuh abai bahasa kebangsaan

BANGI, 3 Zulkaedah 1441H, Khamis – Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon membangkitkan kemarahan netizen apabila memberi ucapan dalam bahasa Mandarin dengan menggunakan logo Kementerian Pendidikan (KPM).

Hang Soong yang juga Timbalan Presiden MCA menerusi akaun Facebook hari ini memuat naik poster memberi ucapan Selamat Menyambut Perayaan Perahu Naga yang ditujukan khusus kepada masyarakat Cina.

Menurut terjemahan, Hang Soon berkata, mari kita meraikan semangat patriotik Qu Yuan dengan menyambut festival Perahu Naga untuk meneruskan intipati budaya Cina.

Rata-rata netizen mengecam tindakan Timbalan Menteri Pendidikan I itu kerana mengabaikan bahasa kebangsaan ketika menggunakan logo kementerian.

Pengguna Facebook dikenali sebagai Aiman Rosli mendesak Hang Soon membuang logo KPM jika beliau mahu memberi ucapan dalam bahasa Mandarin.

Sementara Aiman Nawi pula mempersoalkan sama ada negara ini negara China atau Malaysia atas tindakan tidak sensitif beliau.

“Mana bahasa kebangsaan?,” demikian pula soalan serentak dilontarkan Amar Ahmad dan Siew Shuen.

Aidil Idham pula megingatkan Hang Soon supaya menggunakan bahasa kebangsaan – bahasa Melayu – untuk semua urusan rasmi.

“Kamu jangan sombong dan angkuh,” tegas beliau.

Selain itu, ada juga netizen mempersoalkan Hang Soon tidak takut dikritik oleh PAS dan UMNO dengan melakukan tindakan sedemikian.

“Selamat menyambut Pesta Perahu Naga kepada semua sahabat Cina. Tapi awak ini menteri China ke Malaysia? Tak takut kena serang dengan PAS UMNO kalau tulis kenyataan rasmi kementerian dalam Mandarin atau zaman PH tak boleh zaman PN boleh. Ajaib itu,” sindir Ahmed harshrough.

Semakan Ismaweb mendapati, logo kementerian telah dipadam setelah menerima kecaman.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan teruk dikecam netizen gara-gara memberi ucapan dalam bahasa Tamil ketika sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu.

Menerusi ucapan yang disiarkan di halaman rasmi Facebook Bernama TV, rata-rata netizen mempertikai tindakan Saravanan selain menyindir sekiranya beliau adalah pemimpin kepada kerajaan India.

Bahkan, beliau juga pernah dikecam kerana tindakan sama selepas tular posternya memberikan ucapan ulang tahun ke-74 kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), di mana selain teks bahasa Melayu, poster itu juga mengandungi ucapan dalam bahasa Tamil.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close