Berita Utama

Seludup warga asing, gesa hukuman tegas terhadap pembelot negara

Negara perlu lebih ramai 'Ayob Khan' untuk jaga kedaulatan Malaysia

BANGI, 3 Zulkaedah 1441H, Khamis – Kerajaan Malaysia mesti mengenakan tindakan tatatertib dan hukuman tegas kepada pembelot negara yang terbabit dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Sekiranya mereka hanya dikenakan hukuman yang ringan, perkara sama akan berulang dan akhirnya isu sama akan timbul saban tahun, kata Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Cikgu Izzat Johari.

Semalam, polis menahan seorang pegawai kanan dan dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disyaki menyediakan perkhidmatan cap keluar masuk palsu untuk kegunaan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan siasatan, setiap warga asing dikenakan kadar bayaran sebanyak RM1,500 sehingga RM2,500.

Katanya, kegiatan sindiket penyeludupan keluar warganegara Indonesia melalui Terminal Feri Pasir Gudang ke Batam Center, Indonesia itu telah bergiat aktif sejak awal Mei, ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Mengulas perkara itu, Cikgu Izzat berkata, inilah risiko yang akan dihadapi oleh kerajaan Malaysia apabila pengurusan Sumber Manusia setiap jabatan ‘dicurangi’ oleh pegawai tidak bertanggungjawab.

Beliau percaya anggota yang terbabit dengan barisan hadapan sebenarnya mudah terdedah dengan isu-isu ini jika tidak diuruskan dengan baik oleh ketua-ketua mereka.

“Jawatan mereka dalam kategori Jawatan Sensitif yang sudah termaktub dalam pekeliling penjawat awam untuk berada diposisi mereka maksimum 3-5 tahun sahaja bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam isu negatif.

“Jadi kita minta semua anggota keselamatan supaya terus jujur dan amanah dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara. Jika mereka terdedah juga, laporkan kepada pegawai atasan yang amanah,” katanya.

Pada sama sama, beliau memuji keberanian Ayob Khan dalam melaksanakan tugas memburu pembelot negara, kerana yakin ada di luar sana yang masih bebas.

“Kita perlu mencari lebih ramai ‘Ayob Khan’ jika mahu menjaga kedaulatan negara.

“Saya yakin, masih ramai anggota Imigresen yang telus dan amanah dalam melaksanakan tugas. Tahniah PDRM!,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button