Berita Utama

Tun-Anwar asyik rebut jawatan PM, bila nak fungsi jadi pembangkang?

Jangan sampai rakyat jadi perlarian kerana ahli politik gila kuasa

BANGI, 3 Zulkaedah 1441H, Khamis – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kerap mengeluarkan kenyataan ‘merapu’ semata-mata untuk merebut kembali jawatan Perdana Menteri, boleh menyebabkan rakyat hilang hormat terhadap beliau.

Beliau sanggup ‘membela’ dan mempertahan parti tamak haloba DAP – yang sebelum ini jelas menentang agenda Islam dan Melayu – hanya kerana parti itu memberi sokongan untuk beliau menjadi Perdana Menteri ke-9.

Demi kuasa, Dr Mahathir juga mahu keluar PH Plus selepas PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri.

Beliau menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Anwar kerana mendakwa Presiden PKR itu tidak mahu bekerjasama dengannya.

“Saya perlu cari jalan lain untuk menjadi Perdana Menteri. Mungkin ada pilihan lain. DAP dan PAN masih menyokong saya untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas perkara itu, pengguna akaun Facebook dikenali sebagai Jamaludin Jaafar berkata, Allah sudah tunjuk dekat semua orang bahawa Dr Mahathir bukan berjuang untuk rakyat tetapi hanya ingin menjadi Perdana Menteri semula.

“Kalau rakyat masih buta dan pilih Tun tak tahulah nak kata apa dah. Tapi rasanya rakyat sekarang ini sudah bijak. Cukuplah sekali tertipu dengan lakonan Tun masa PRU 14. Untuk PRU15 rasanya Tun hanya akan tinggal nama sahaja.

“Rakyat sudah boleh menilai. Daripada seorang negarawan yang disanjung, selepas ini nama Tun hanya akan dikenang sebagai bekas Perdana Menteri saja. Tak lebih dari itu,” katanya.

Sementara, Sempurai Lelingai pula merayu Dr Mahathir menghentikan politik peribadi ketika negara berada di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.

“Cukup-cukuplah Tun hendak apa lagi, sudah dua kali jadi perdana menteri. Asyik merajuk macam budak, siapa suruh letak jawatan. Kita tengah susah sekarang. Hentikan politik peribadi dahulu, biar Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas dahulu, tolonglah rakyat kita tengah sakit sekarang,” katanya.

Syazwan Zufar pula menggesa ahli politik muda di pihak pembangkang bangkit serta menolak politik Anwar dan Dr Mahathir.

“…bosan dah dengan politik tua macam ini. Makin hari makin hilang fungsi sebagai pembangkang, berebut ‘calon PM’ bila masa nak jadi pembangkang ini?,” soalnya.

Samsudin Sam pula merayu supaya ahli politik tidak menghancurkan negara dengan sikap gila kuasa sehingga rakyat menjadi pelarian.

“Pandanglah masa depan anak-anak dan cucu cicit kita. Jangan sampai mereka menjadi perlarian kerana ahli politik negara gila kuasa sesama sendiri. Rakyat sendiri menjadi perlarian. Kami cinta negara Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button