Berita Utama

UMNO minta Muhyiddin bubar Parlimen, serah mandat pada rakyat

Politik negara tak stabil, kesan pada ekonomi, kemasukan pelabur

BANGI, 3 Zulkaedah, 1441H, Khamis – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat – seperti mana dilakukan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. 

Saranan itu disuarakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana menganggap kedudukan politik terkini negara sangat tidak stabil, di mana akan memberi kesan kepada kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial. 

Beliau yang mesra panggilan Tok Mat berkata, keadaan semasa menyukarkan kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara daripada kemelesetan ekonomi pada waktu ini. 

“Segala usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang. 

“Negara tidak boleh terus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan. Ini bukan sesuatu yanb sihat untuk negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mohamad berkata, hanya kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik serta menumpukan fokus kepada memulihkan Malaysia daripada cabaran berar yang bersifat ‘unprecedented’. 

“Negara ini adalah sebuah demokrsi berparlimen. Kuasa sebenar ialah pada rakyat dan bukan pada sesiapa yang lain. 

“Apatah lagi pada blok-blok yang dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik.

“Justeru, kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan ke hadapan bagi tanah air tercinta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close