Berita Utama

1,200 pemandu positif alkohol ditahan sejak Januari

Polis jalankan Op Mabuk setiap hari, tumpuan hujung minggu

KUALA LUMPUR, 4 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Kira-kira 1,200 pemandu mabuk dan positif kandungan alkohol melebihi had ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Mabuk sejak awal tahun hingga 15 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, jumlah itu direkodkan menerusi 507 operasi yang dijalankan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 14,949 individu diperiksa berbanding tempoh sama tahun lepas dengan hanya 6,426 pemeriksaan ke atas pemandu direkodkan.

“Peningkatan jumlah pemeriksaan menerusi operasi ini jelas menunjukkan usaha PDRM membanteras gejala pemanduan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Azisman berkata, dalam masa sama, polis masih giat menjalankan Op Mabuk setiap hari dengan tumpuan diberi pada hujung minggu berikutan dalam tempoh berkenaan didapati lebih banyak kes pemanduan bawah pengaruh alkohol dilaporkan.

“Hal ini menjadi keutamaan pihak polis dan sesiapa yang didapati melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol boleh didakwa mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azisman berkata 1,121 tangkapan dibuat menerusi Op Samseng Jalanan dalam tempoh yang sama.

“Semua mereka berumur 18-40 tahun ditahan kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan termasuk memandu secara melulu menerusi 324 Op Samseng yang diadakan sejak Januari hingga 15 Jun lepas,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close