Berita Utama

Ahli politik Melayu naif bercakaran sesama sendiri

Pemimpin kita kena kembali kepada tujuan asal berpolitik, terajui negara

BANGI, 4 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Istilah naif dan menjelekkan sesuai diberi kepada ahli politik Melayu yang lupa daratan dan saling bercakaran sesama sendiri selama puluhan tahun sehingga tergadai perjuangan dan masa depan agama, bangsa serta negara.

Sebaliknya bagi pertubuhan Cina, meskipun kelihatan banyak parti dan organisasi, mereka sebenarnya bekerjasama dan saling membantu demi masa depan ekonomi, pendidikan, budaya dan kuasa politik kaum mereka di negara ini, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Katanya ia termasuk MCA, DAP, Gerakan, Dong Zong, Hua Zhong, Dewan Perniagaan Cina dan barisan taikun yang membarisi senarai hartawan terkaya di Malaysia.

Dr Zainur Rashid bagaimanapun masih berfikiran positif agar ahli politik Melayu sedar tujuan mereka berpolitik serta mengingati sebab mereka mentadbir negara.

“Namun begitu, saya tetap optimis dan kekal mendoakan agar para pemimpin kita akan diberikan taufik dan kembali kepada tujuan asal kenapa kita berpolitik dan kenapa kita harus menerajui tampuk kepimpinan negara,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Ketidakstabilan politik orang Melayu dapat dilihat apabila berlakunya krisis perebutan kuasa perdana menteri meskipun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selepas mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Kebelakangan ini, Tun Dr Mahathir Mohamad kerap mengeluarkan kenyataan ‘merapu’ bahkan sanggup ‘membela’ dan mempertahan parti tamak haloba DAP – yang sebelum ini jelas menentang agenda Islam dan Melayu – hanya kerana parti itu memberi sokongan untuk beliau menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Bahkan beliau memaklumkan tidak akan lagi menghubungi PKR ataupun Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai soal kerjasama antara kedua-dua parti, sebaliknya akan bekerjasama dengan DAP dan PAN.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Anwar kerana mendakwa Presiden PKR itu tidak mahu bekerjasama dengannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close