Berita Utama

Sistem politik kita perlu berpaksi kenegaraan, bukan kepartian

Pemimpin kita gagal pamer agenda kesejahteraan kepada rakyat

BANGI, 4 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Persepsi negatif orang bukan Islam terhadap cadangan supaya Malaysia mencuba sistem ‘semidemokrasi’ mengikut acuan ketimuran dan watan, kerana pemimpin kita gagal mempamerkan agenda yang boleh membawa kesejahteraan kepada semua orang.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, proses perubahan ini perlu dilihat bukan sahaja pada sistem tetapi juga kepada kefahaman individu itu sendiri.

Beliau yang juga Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menjelaskan bahawa sistem sama ada demokrasi, semidemokrasi, teodemokrasi dan sebagainya hanyalah pemudah cara, namun pelantikan seseorang individu itu penting agar dilantik mereka yang benar-benar mempunyai jiwa kenegaraan.

Katanya, sistem politik kita pada hari ini lebih kepada kepartian bukan kenegaraan yang mana bermati-matian mempertahankan parti, taksub dengan parti, jawatan dan kuasa.

“…mana kita nampak menteri letak jawatan secara sukarela, jarang, selalunya dipaksa. Walaupun disebut letak jawatan secara sukarela, tapi selalunya dipaksalah. Mana orang yang diberi jawatan dia tolak, tidak ada, semua nak.

“Tetapi jika politik kenegaraan ini, jika orang parti dia buat silap, dia sendiri akan menegur. Dan jika dia sendiri membuat silap, dia sanggup mengundurkan diri. Kadang-kadang sebab itu kenapa orang Islam sendiri lebih suka melihat Barat kerana perkara ini berlaku di sana tetapi tidak berlaku di negara Islam.

“Kita lihat ahli politik di Barat, Eropah, New Zealand, Australia meletakkan jawatan apabila berlaku sedikit kesilapan. Tetapi kita kalau buat silap, rasuah ‘relaks’ saja. Jadi rakyat pun pening,” katanya ketika siaran langsung Bicara PEMBELA di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, perkara itu membuatkan masyarakat menjadi fobia antara satu sama lain apabila dikemukakan mengenai Islam dan Melayu.

“Ini kerana mereka nampak ketidakadilan, kerakusan dan sebagainya. Bagi saya ini satu senario kenapa kita kena lihat semula secara akademik dari segi penyelesaian dan mungkin akan ada penyelesaian lebih holistik dan jangka masa panjang,” katanya.

Sebelum ini, Haji Aminuddin mencadangkan sebuah sistem semidemokrasi yang menyaksikan semua jawatan menteri termasuk Perdana Menteri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak dijawat oleh wakil rakyat, sebaliknya dipegang oleh golongan teknokrat atau penjawat awam.

Beliau berkata, cadangan yang dikemukakan bukan sesuatu yang asing kerana sistem yang hampir sama dengan sistem semidemokrasi telah berjalan melalui pelantikan senator Dewan Negara.

Katanya lagi, sistem itu boleh dikembangkan lagi berikutan jumlah bilangan lantikan senator adalah terhad.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close