95 peratus tahanan Palestin diseksa kejam oleh Israel
Rejim Zionis ancam bunuh ahli keluarga, roboh kediaman mereka

BAITULMAQDIS, 4 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Sebanyak 95 peratus tahanan Palestin di penjara negara haram Israel diseksa dengan kejam oleh rejim Zionis, kata Anadolu Agency.
Persatuan Tahanan Palestin (PPS) berkata, mereka menggunakan banyak kaedah untuk menyeksa tahanan secara fizikal dan psikologi, melalui sistem keganasan yang komprehensif.
“Tahanan juga kurang tidur kerana perlu melalui sesi soal siasat berterusan sehingga 20 jam.
“Pihak berkuasa Israel juga bertindak kejam dengan mencegah peredaran darah sampai ke tangan mereka, menutup kepala mereka dengan beg kotor.
“Malah, tahanan sentiasa dipukul, ditampar dan turut didera secara lisan dengan menghamburkan kata-kata hinaan secara sengaja,” kata kenyataan itu.
Bukan itu sahaja, pihak berkuasa Israel juga mengancam untuk membunuh anggota keluarga serta merobohkan kediaman mereka.
Ketika ini, jumlah rakyat Palestin yang ditahan dalam penjara Israel sekitar 5,000 tahanan.
Dilaporkan, ratusan daripada mereka ditangkap secara penahanan pentadbiran, iaitu dasar di mana warga Palestin dikurung tanpa perbicaraan atau pertuduhan. – Agensi