Berita Utama

Kontrak berbilion, Tun nak jadi PM untuk lindungi anak, kroni

Isham dakwa Tun M kleptokrat terbesar dalam sejarah Malaysia

BANGI, 4 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa mahu menjadi Perdana Menteri semula kerana mahu menyembunyikan salah laku sepanjang memegang jawatan itu, serta bimbang kontrak kerajaan diberikan kepada kroninya sebelum ini dibatalkan.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil berkata, ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, syarikat anak beliau – Opcom Holdings Berhad telah meraih kontrak bernilai RM11.16 juta daripada Telekom Malaysia Bhd (TM).

“Bukan itu sahaja, Opcom Holdings Berhad juga telah mendapat kontrak di bawah kerajaan Pakatan Harapan di dalam program National Fiberisation and Connectivity Plan yang membawa peruntukan sebanyak RM 21.6 billion.

“Ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, banyak kontrak-kontrak kerajaan dengan jumlah keseluruhan bernilai berbilion-bilion ringgit telah dianugerahkan kepada kroni dan anak-anaknya yang telah menjadi kaya raya.

“Tentu ada salah guna kuasa dalam penganugerahan kontrak-kontrak ini yang kebanyakannya dilakukan melalui rundingan terus. Perkara ini juga dibangkitkan oleh Datuk Seri Najib Razak di dalam laman Facebooknya baru-baru ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut memetik perbualan netizen di media sosial yang mana ramai berpendapat Dr Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga untuk menyembunyikan salah laku yang dilakukan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh selama 22 bulan, dan sebelumnya selama 22 tahun.

“Adakah Dr Mahathir begitu takut yang kerajaan Perikatan Nasional akan membatalkan semua kontrak yang diberi kepada anak dan kroninya sehingga mahu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga untuk melindungi mereka?

“Atau Dr Mahathir pastinya takut jika beliau bukan lagi Perdana Menteri, beliau, anak-anaknya dan kroni-kroninya akan disiasat, didakwa dan dimasukkan ke dalam penjara kerana kesalahan salahguna kuasa dan rasuah selama 22 tahun dan 22 bulan beliau berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu Isham berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci terhadap syarikat-syarikat anak Dr Mahathir dan kroni-kroninya yang mendapat kontrak berbilion ringgit daripada kerajaan yang pastinya terdapat elemen salah guna kuasa.

“Dr Mahathir adalah kleptokrat terbesar dalam sejarah Malaysia. Beliau bukan curi 10 ekor ayam atau satu reban sahaja, tetapi telah curi semua ladang ayam di Malaysia sejak berpuluh tahun menjadi Perdana Menteri dan seekor pun tidak pulangkan.

“Dr Mahathir adalah Bapa Curi Ayam Negara. Sudah tiba masanya beliau dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button