Berita UtamaPendapat

MCA, MIC sudah bersuara: Amaran awal untuk UMNO, PAS

Apakah UMNO terlalu takut kepada MCA melebihi takut pada DAP?

SAYA ingin mulakan status kali ini dengan satu peringatan awal kepada dua parti terbesar dalam usahasama politik longgar yang digelar ‘Perikatan Nasional’: Jangan berasa terlalu selesa!

Umum mengetahui bahawa kerajaan yang memerintah hari ini tidak ‘mendapat’ mandat dari rakyat dan para pengundi untuk menjadi pemerintah. Punca pemerintah hari ini berkuasa adalah daripada pihak ‘kerajaan’ terdahulu juga – yang menghadapi perpecahan dalaman yang tidak dapat dibendung lagi.

Maka terjadilah apa yang telah terjadi – surat perletakan jawatan Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Muhammad) yang secara efektifnya dan secara tidak langsung membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri, yang sempat berkuasa selama 22 bulan sahaja.

Saya tidak akan melangkah masuk ke dalam perdebatan undang-undang tentang keabsahan (legitimacy) pihak pemerintah baru ini atau mencari pintu dan atap untuk berhujah. Mahkamah adalah forum yang paling sesuai untuk memberi keputusannya.

Saya lebih suka melihat kepada apa yang ada, secara realitinya, pada masa sekarang, iaitu pihak pemerintah adalah terdiri dari gabungan longgar antara UMNO, PAS, Bersatu dan beberapa parti politik lain manakala pihak pembangkang pula terdiri dari gabungan parti-parti PKR, PAN, DAP, Bersatu dan beberapa parti politik lain juga.

Fokus kali ini ialah kepada kedudukan pihak pemerintah sendiri yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat UMNO dan PAS serta sedikit dari Bersatu dan parti-parti lain (kemudian daripada ini kita sebut sebagai kerajaan PN).

Sekiranya nisbah bilangan wakil-wakil rakyat di antara kerajaan PN dan PH adalah hampir seimbang dan kritikal, maka realiti politik yang dihadapi oleh kerajaan juga tidak begitu meyakinkan dari segi kekukuhannya, melihat kepada gelagat, tindak tanduk dan perangai parti-parti MCA dan MIC terkini.

Secara mudahnya, saya boleh tegaskan bahawa baik UMNO mahupun PAS tidak tahu menangani dan menguruskan permasalahan ini. Ketaksuban dan keangkuhan telah menyebabkan kedua-dua parti besar Melayu/Islam itu terlalu konfiden dengan kemampuan atau kecerdikan mereka berpolitik, meskipun mereka sepatutnya mewakili dan memperjuangkan kepentingan umat dan bangsa terlebih dahulu sebelum memuaskan ego dan parti sendiri.

Umat dan bangsa telah memerhatikan betapa lemah dan “kalah”nya UMNO kepada tuntutan, desakan dan ancaman-ancaman daripada parti MCA, rakan sekutunya dahulu. Parti ini tidak ada beza sedikitpun dengan DAP dan Gerakan, dari sudut memperjuangkan, mempertahankan dan menuntut kepentingan-kepentingan Cina.

Baik MCA, DAP dan Gerakan – semua parti itu adalah bersifat rasis, cauvinis dan “keras” dalam urusan-urusan yang menyentuh kepentingan-kepentingan politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan masa depan bangsa dan komuniti Cina mereka. Mereka akan pastikan bahawa kepentingan-kepentingan mereka akan tetap dipelihara dan tidak akan terusik sedikitpun, biar siapa atau blok mana yang memerintah negara.

Begitu juga dengan MIC, parti yang sudah ditolak, tidak relevan dan sudah sudah gagal sama sekali dalam memperjuangkan kepentingan-kepentingan masyarakat Tamil/India di negara ini, tetapi masih boleh “berlagak” bagaikan “samseng-samseng politik” dalam gelanggang politik. Situasi yang sama boleh juga terpakai ke atas Hindraf.

Bagaimanapun, keadaan ini tidak menghairankan dan boleh dimaafkan, memandangkan masyarakat dan komuniti Tamil/India di negara ini sering dipinggirkan oleh pihak pemerintah, ditambah dengan kerakusan para pemimpin mereka yang tamak haloba dan kecuaian serta keengganan masyarakat Tamil/India untuk mengubah nasib mereka sendiri.

UMNO telah dikalahkan dan diperdayakan dengan “ancaman-ancaman politik halus” dan kedudukan MCA yang tidak berganjak dalam isu pengagihan kerusi-kerusi pilihanraya. Dalam hampir semua kes, UMNO yang telah ditundukkan, dan ini berpunca daripada pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Pilihanraya kecil Parlimen Tanjung Piai adalah contoh terdekat, di mana calon MCA (pilihan UMNO dan disokong PAS) yang menang terbukti kemudiannya hanya memenangkan agenda rasis cauvinis setelah berada dalam Dewan Parlimen.

Dalam kebanyakan kawasan yang majoriti pengundinya (53% hingga 80%) adalah Melayu, tidak sedikit wakil rakyatnya adalah bukan-Melayu, hanya kerana “ikatsetia” atau “kompromi politik” UMNO yang sudah lapuk, memalukan dan sangat mengecewakan.

Situasi yang sama akan berlaku di dalam banyak pusingan pilihanraya yang senarionya seperti di atas, sehingga timbul satu persoalan di fikiran saya:

Apakah UMNO terlalu takut kepada MCA melebihi ketakutannya terhadap DAP?

Apakah satu “gertakan” dari MCA sudah cukup untuk membuatkan UMNO tidak berani mengangkat muka dan selalu tunduk mengalah kepada MCA?

Kenapa UMNO kerap membenarkan MCA bertanding di kawasan-kawasan yang majoriti penduduk atau pengundinya adalah Melayu?

Apakah manfaat atau faedah yang UMNO dapat dari MCA yang hanya memiliki beberapa kerat kerusi sahaja di Parlimen?

Sekarang, MIC seakan-akan sudah mendapat ilham dan inspirasi dari “keberanian” dan “ketegasan” MCA terhadap UMNO.

Apabila UMNO terbukti tidak dapat mengawal MCA, apakah parti ini akan lebih berjaya menundukkan MIC pulak?

Sekiranya UMNO sudah “dayus” dari segi politik untuk mempamerkan kuasa dan pendirian teguhnya terhadap MCA dan MIC, realiti yang berlaku pada PAS agak berbeza sedikit, tetapi membawa kepada kesimpulan yang sama sahaja.

Di sebalik pengalaman dan sejarah penglibatan politik yang puluhan tahun lamanya, PAS masih belum mampu meyakinkan umat Islam tentang keghairahannya mempertahankan kepentingan umat dan bangsa melebihi kepentingan politik kepartiannya.

PAS pernah berTahaluf Siyasi untuk satu jangkawaktu yang lama juga dengan parti rasis cauvinis DAP, tetapi gagal mengemukakan dalil-dalil yang kuat yang membenarkan “kerjasama” politik tersebut. Meskipun dihujani dengan kritikan dan teguran yang mengingatkan PAS tentang sia-sia dan bahayanya bentuk kerjasama tersebut, semuanya tidak dipedulikan.

Akibatnya, kerjasama tersebut bukan sahaja telah menimpakan kerugian besar ke atas umat Islam, malah telah men”suci”kan parti rasis cauvinis itu di mata masyarakat Islam. Maka berleluasalah DAP memperdaya dan meracuni pemikiran penyokong-penyokong PAS dan juga masyarakat Islam.

Betapa utuhnya kerjasama ini sehingga parti BERJASA yang meletakkan calon Muslim yang berwibawa di beberapa kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang-orang Melayu tidak mendapat sokongan dari PAS, kerana calon-calon BERJASA berhadapan dengan calon-calon bukan-Melayu dari DAP yang disokong oleh PAS, sebagai rakan sejawat politik zaman Tahaluf Siyasi ketika berlangsungnya PRU13 dahulu.

Pendirian yang sama diulang kembali semasa pilihanraya Parlimen Tanjung Piai di mana BERJASA sekali lagi menghantar calon iaitu Presidennya sendiri untuk bertanding setelah gagasan yang dinamakan Muafakat Nasional (antara PAS dan UMNO) bersetuju meletakkan calon MCA, sedangkan semua orang tahu bahawa Tanjung Piai adalah kawasan majoriti pengundi-pengundi Melayu. Malah, lebih menyedihkan, PAS telah mengeluarkan arahan supaya penyokong atau ahli-ahlinya jangan m,engundi calon melayu dari BERJASA.

Sekiranya dahulu DAP telah di”kudus”kan oleh PAS, maka hari ini MCA pula yang mendapat peng”kudus”an dari parti berwajah Islam tersebut.

Saya percaya, calon MIC juga boleh di”kudus”kan juga oleh PAS, sekiranya maslahat politik PAS menuntut kepada legitimasi dan keabsahan sokongan kepada MIC.

PAS juga tidak berjaya (atau tidak berani) untuk menegur keceluparan-keceluparan MCA dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam, umat Islam dan bangsa Melayu memandangkan parti tersebut telah menjadi sebahagian daripada kerajaan memerintah. Alasan-alasan yang diberi untuk menjustifikasikan kerjasama dengan DAP dan MCA itupun sangkat dangkal dan tidak masuk akal.

Apabila dua parti terbesar umat Islam/bangsa Melayu (UMNO dan PAS) yang menjadi kerajaan memerintah dengan begitu mudah boleh “dipermainkan” atau diberi kata dua dari parti-parti politik kecil lain di dalam gabungan politik mereka, maka ini membuktikan yang parti-parti UMNO dan PAS itu sudah hilang kewibawaan untuk mewakili kepentingan umat dan bangsa.

Realiti kerjasama Muafakat Nasional UMNO dan PAS telah diterima hanya kerana pengharapan (expectations) bahawa kedua-dua parti politik tersebut meletakkan kepentingan Islam, umat Islam dan bangsa Melayu di kedudukan paling hadapan sekali dalam sebarang percaturan politik atau dalam meja-meja rundingan dengan parti-parti lain, atau paling kurang tidak membelakangkan agenda Islam di dalam pengoperasian jentera pentadbiran negara.

Kepercayaan dan penerimaan umat dan bangsa terhadap kerajaan UMNO-PAS ini bukan mutlak, tapi bersyarat. Iaitu selagimana kemaslahatan umat Islam dan bangsa Melayu menjadi agenda utama, maka selama itulah umat dan bangsa akan menerima dan akur.

Perkembangan mutaakhir menampakkan seolah-olah UMNO dan PAS tidak lagi mempedulikan hasrat dan harapan umat Islam dan bangsa Melayu.

****************

Pembaca adalah disarankan untuk membaca penjelasan yang lebih mantap dari Presiden ISMA tentang apa yang saya cuba sampaikan di dalam status kali ini:

Sebelum saya mengulas lanjut mengenai isu ini, berikut merupakan 3 kerusi yang dituntut oleh MIC (setakat ini):1….

تم النشر بواسطة ‏‎Aminuddin Yahaya‎‏ في الأربعاء، ٢٤ يونيو ٢٠٢٠

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button