Berita Utama

Peluang Anwar jadi PM tetap tipis meski Tun M tiada

DAP ada badi, sesiapa yang bersekongkol pasti akan kecundang

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Zulkaedah 1441H, Jumaat  Terlalu banyak percaturan politik sehingga menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘tertinggal bas’ untuk menjadi Perdana Menteri –  kerusi nombor satu negara yang diidamkannya sejak sekian lama. 

Bahkan, cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri musnah selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan yang dijanjikan bakal diserahkan kepada Presiden PKR itu sebelum ini, sehingga Pakatan Harapan (PH) tumbang. 

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hassan Mad berkata, hasrat Anwar tidak akan berjaya selagi mana mereka bersekutu dengan parti tamak haloba DAP.

Pada DAP, Anwar tidak ada ciri-ciri seorang pemimpin Melayu Islam yang dikehendaki, sekalipun jika dibandingkan dengan Dr Mahathir.

Anwar boleh melakukan apa saja untuk memulihkan imejnya sebagai seorang pemimpin Islam tapi semua itu sudah terlambat, katanya. 

“Andai ditakdirkan Tun M dah tiada, peluang untuk Anwar menjadi Perdana Menteri tetap tipis, selagi beliau bersekutu dengan DAP.

“Ya betul, beliau seorang pemimpin Islam, pernah berkhutbah Jumaat dan sebagainya, tetapi itu tidak bermakna beliau dapat diterima sebagai pemimpin Islam yang negara ini kehendaki. 

“Jika DAP pun dah tolak apa lagi yang ada pada beliau,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengimbas kembali, Dr Hassan berkata, sebenarnya langkah Anwar menubuhkan PKR apabila beliau dikeluarkan dari UMNO dahulu adalah langkah yang bijak. 

Beliau berkata, pada era tersebut, yang telah menunggu di luar sana untuk berganding dengannya ialah PAS. 

“Gandingan PKR-PAS sudah cukup bagus sebab PKR itu parti multi-etnik, maka gandingan itu tak perlukan lain-lain parti yang ethnic-centric.

“Bila DAP sertai mereka, bentuk Pakatan Rakyat dan DAP kuasai Pakatan itu, maka bermulalah satu pakatan pembangkang yang terlalu cauvinis. 

“Anwar mula tenggelam, ikut telunjuk DAP dan tak lama kemudian PAS bercerai dari Pakatan Rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penceraian PAS dari PR adalah simbolik kepada penolakan Melayu Islam dalam PR terhadap DAP. 

Ia juga simbolik kepada penolakan Melayu Islam terhadap Anwar kerana gagal mempengaruhi DAP, sebaliknya beliau pula dikuasai parti tamak haloba itu, kata Dr Hassan.

“Memang sah DAP ada badinya sendiri. Sesiapa saja bersekongkol dengannya, akan kecundang. BERSATU pula mencuba nasib dan membentuk PH.

“Tapi Tun M lupa, PH menang di bawah pimpinannya yang ada DAP bersamanya, bukan kerana PH parti pilihan rakyat, tapi kerana rakyat menolak BN. 

“Oleh kerana Tun M lupa maka beliau yakin PH akan kuat tadbir kerajaan yang ada DAP dalam selimutnya,” katanya.

Namun, bagi DAP pula, kata Dr Hassan, apabila adanya Dr Mahathir dan Anwar dalam selimutnya, maka mereka ada pilihan yang mana satu di antara dua pemimpin Melayu yang lebih strategik untuk mereka ‘kudakan’. 

“Sukar untuk dipercayai, tetapi itulah hakikatnya, DAP lebih cenderung memilih Tun M. Kini Anwar telah sedar akan musibah bersekongkol dengan DAP dan tahu DAP tidak lagi memihak kepadanya. 

“Anwar juga telah insaf akan badi bersekongkol dengan Tun M kerana beliau ini tidak akan membenarkan sesiapa jua berada di atasnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close