Berita Utama

Rakyat nak tahu hala tuju negara, apa perancangan kerajaan PN?

'Long term goals' penting letakkan negara di landasan strategik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu ada perancangan 10 hingga 20 tahun untuk meyakinkan rakyat atas kewibawaan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, pelan berupa wawasan atau ‘long term goals’ yang memacu negara menuju 2030 dan seterusnya amat penting kerana ia meletakkan negara ke atas landasan yang berstrategik untuk menjadi sebuah negara maju.

“Ini akan menunjukkan bahawa kerajaan sekarang berada dalam suasana yang bersedia untuk menghadapi cabaran seterusnya di samping menunjukkan kepimpinan yang berwawasan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau menekankan dalam keadaan sekarang, keutamaan kerajaan sekarang ialah menangani pandemik COVID-19 serta tekanan ekonomi meskipun pada masa sama ada tekanan politik.

Dr Ahmad Kamal berpendapat, pada waktu ini, pelan jangka masa panjang mungkin tidak diutamakan tetapi langkah-langkah memperkasakan ekonomi didahulukan.

“Namun saya melihat bila PKP tamat nanti, tekanan politik dan ekonomi akan mengalihkan tumpuan pemimpin semasa untuk membuat pelan strategik dan jangka panjang.

“Selain itu, seruan beberapa pemimpin supaya Parlimen dibubar dan pilihan raya diadakan seolah-olah menyatakan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin adalah hanya sementara dan akan digantikan dengan kerajaan pimpinan org lain.

“Perkara ini sebenarnya merencatkan perancangan masa depan kerajaan Muhyiddin,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini memberi jaminan akan meneruskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi melonjakkan ekonomi negara dan merapatkan jurang pendapatan rakyat.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan berusaha untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Pendidikan sebelum ini.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 diasaskan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, rakyat tertanya bagaimana rancangan seterusnya ekoran kerajaan PN sekarang dianggotai oleh parti yang dahulu adalah pembangkang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close