Tok Mat gesa bubar Parlimen, tapi Annuar kata UMNO sokong PM
Sokong kerajaan PN, tak timbul isu ketidakstabilan politik

BANGI, 4 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Gesaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen bercanggah dengan pendirian asal UMNO.
Setiausaha Kerja UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, tiada sebarang perbincangan mengenai gesaan pembubaran Parlimen, sebaliknya parti itu memberikan sokongan penuh kepada kerajaan.
Katanya, kenyataan Mohamad hanya bersifat pandangan peribadi dan tidak timbul sebarang isu ketidakstabilan politik.
“Kerajaan PN sangat mantap dari segi jumlah sokongan, kerusi juga semakin bertambah sebab ada yang ‘menyeberang’ untuk menyokong kerajaan PN.
“Pada saya, perkara yang bersifat politik berlebihan harus dikurangkan dan beri tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat.
“Rakyat sudah letih dengar orang politik bercakap mengenai masalah politik. Kita telah mengulangi sokongan kita pada Perdana Menteri,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Semalam, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat menggesa PN membubarkan Parlimen kerana kedudukan politik Malaysia dikatakan sangat tidak stabil, sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak Merdeka.
Beliau berkata, keadaan ketika ini sangat menyukarkan kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang yang kritikal, termasuk membentangkan belanjawan, sedangkan negara menghadapi kemelesetan ekonomi.