Berita Utama

Kor Ming dakwa PM usul singkir Speaker termasuk timbalan

PM bersendirian didakwa tiada kuasa lakukan penyingkiran

BANGI, 5 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa telah mengemukakan usul untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Perkara tersebut disahkan oleh Kor Ming kepada media tempatan.

“Ini telah dimasukkan ke dalam agenda,” katanya, hari ini.

Manakala, kedudukan seorang lagi Timbalan Speaker iaitu Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon seperti tidak terjejas.

Terdahulu, akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan, Muhyiddin akan mengemukakan usul untuk melucutkan jawatan Mohamad Ariff dan Kor Ming pada 13 Julai depan, iaitu hari pertama persidangan Dewan Rakyat.

Pergantian itu dibuat di bawah Perkara 57 (3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan: “Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, melainkan oleh sebab Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum, maka seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua atau, jika kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua tidak hadir atau jika kedua-dua jawatan mereka itu kosong, seorang ahli lain sebagaimana yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Rakyat, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.”

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilapor, menyerahkan usul berkenaan pada jam 4.50 petang, semalam.

Dalam pada itu, Kor Ming mendakwa, tindakan itu di luar kebiasaan amalan Parlimen kerana ini adalah kali pertama seorang Perdana Menteri mencadangkan untuk menyingkirkan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Penyerahan Muhyiddin kepada Parlimen untuk membuang Speaker adalah yang pertama dalam sejarah Malaysia.

“Menurut konvensyen Parlimen, kedudukan Speaker biasanya dikosongkan dalam salah satu dari tiga keadaan berikut – ketika Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum, ketika Speaker meninggal dunia atau ketika Speaker mengundurkan diri. Ketiga-tiga situasi ini tidak terjadi,” dakwanya.

Jelas Kor Ming, unsur kedua yang ‘di luar kelaziman’ dan belum pernah terjadi sebelumnya dalam usul itu adalah apabila penggantian Speaker dan Timbalan Speaker diminta dilakukan serta-merta.

Menurutnya, Parlimen biasanya memberi notis 14 hari kepada semua Ahli Parlimen untuk membolehkan mereka mencalonkan Speaker baru apabila jawatan itu kosong, sekiranya lebih dari satu calon dicadangkan, keputusan akan dibuat melalui undian.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu mendakwa, Perdana Menteri secara bersendirian tiada kuasa untuk menyingkirkan Speaker atau Timbalan Speaker.

“Hanya Dewan Rakyat yang berkuasa untuk melakukan itu. Apa pun usul, sama ada untuk mengganti speaker atau membekukan konvensyen Parlimen, ia mesti dibawa ke Dewan untuk undian.

“Pendirian kami mudah, kami akan hormat keputusan yang dibuat oleh Dewan Rakyat. Sekiranya dewan mahu kami kekal, kami akan kekal. Sekiranya dewan mahu kami pergi, kami akan pergi. Semuanya akan dilakukan mengikut Perlembagaan dan peraturan Parlimen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button