Berita Utama

Akhirnya slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ serlah kebenaran

Slogan dibawa ISMA itu pernah dimomok sebagai rasis, assabiyah

BANGI, 5 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ yang pernah suatu ketika dahulu dimomokkan sebagai rasis, malah dianggap sebagai seruan assabiyah kini semakin menunjukkan kebenaran.

Bukan itu sahaja, slogan berkenaan dilihat sangat diperlukan oleh orang Melayu Islam pada ketika ini bagi mendepani pelbagai rintangan yang wujud di tanah air.

Sehubungan itu, Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Zainur Rashid Zainuddin mengajak, umat Islam untuk memahaminya dengan lebih mendalam agar kesilapan yang pernah dilakukan pada masa lampau tidak diulangi.

“Alhamdulillah, Melayu dan umat Islam yang memahami realiti dakwah, perjalanan politik dan perjuangan islam di Malaysia telah semakin menerima kebenaran seruan ini.

“Semoga umat ini terus belajar dari kesilapan dan tidak ulangi kesilapan yang lama berkali-kali dan bertahun-tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Melayu Sepakat Islam Berdaulat telah menjadi slogan yang dibawa oleh ISMA sejak sekian lama. 

Malah, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), slogan ini yang diseru oleh ISMA khususnya kepada parti-parti Melayu ketika itu selain seruan Undilah Calon Muslim Berwibawa. 

Namun begitu, seruan ini ditolak oleh pelbagai pihak yang mendakwa ia sebagai rasis, mendahulukan Melayu dan meninggalkan Islam.

Walhal, matlamat daripada slogan itu hanya untuk mendaulatkan Islam di negara ini.

Menjelaskan secara lanjut slogan itu, Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, dengan kembalinya orang Melayu kepada Islam dan dengan dikukuhkan semula keperibadian Melayu kepada jati diri keIslaman, maka mereka bersatu padu menjadi umat yang mempunyai risalah.

“Mereka akan menjadi umat yang mempunyai agenda, maka mereka akan dapat keluar dengan selamat dari situasi yang mereka hadapi sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button