Berita Utama

Mahu bersolat, lelaki muslim di AS diberhentikan kerja

Syarikat didakwa lakukan kesalahan di bawah Akta Hak Sivil 1964

INDIANAPOLIS, 5 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Seorang lelaki muslim yang dibuang kerja selepas meminta kebenaran untuk bersolat lima waktu sehari, bertindak menfailkan dakwaan ke atas bekas majikannya kerana telah melakukan diskriminasi agama.

E’Lon Brown, 37, mendakwa, Automatic Distributors dan StaffMax telah mendiskriminasi beliau dengan menafikan permintaan berehat untuk bersolat dan melakukan solat Jumaat.

Enggan memenuhi permintaan berkenaan, syarikat terbabit kemudian mengambil tindakan memberhentikan Brown yang pada ketika itu baru seminggu bekerja di sana.

Itu merupakan butiran yang terdapat dalam kertas dakwaan yang difailkan Brown ke Suruhanjaya Timbang Tara Pekerjaan dan Suruhanjaya Hak Sivil Indiana, awal minggu ini.

Brown mendakwa, pada awalnya dua penyelia beliau menerima permintaan yang diajukan sebelum menolaknya.

“Mereka memberitahu tidak dapat memberi kemudahan itu kepada saya kerana perlu memberi kepada pekerja lain juga, yang mana mereka tidak mampu lakukan,” katanya.

Pada 26 Disember tahun lalu, Brown berkata, menerima mesej dari StaffMax berkenaan pemberhentian beliau.

Kakitangan StaffMax kemudian mengesahkan, tindakan pemberhentian itu ada kaitan dengan kehendak ‘keagamaan beliau’.

Berdasarkan kertas pendakwaan, StaffMax dan Automatic Distributors didakwa telah melakukan kesalahan berdasarkan agama seseorang menurut Akta Hak Sivil 1964 di bawah Tajuk VII.

Peguam Brown, Zanah Ghalawanji berharap, syarikat berkenaan dapat melaksanakan polisi yang membenarkan pekerja membuat permintaan berpatutan tentang hal ehwal keagamaan.

“Undang-undang telah membenarkan syarikat beri kemudahan berpatutan selagi mana ia tidak memberi kesan kepada pekerjaan.

“Sebenarnya tiada alasan langsung untuk tidak memberi mereka kemudahan berkenaan, dalam kes Brown beliau telah dinafikan hak,” katanya.

Sehubungan itu, Zanah berkata, pihaknya akan berjuang bagi memastikan anak guam beliau mendapat pembelaan yang sewajarnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close