Berita Utama

Jijik! Kilang bebola ikan, babi diserbu

Terdapat tahi tikus dijumpai di celah-celah peralatan yang digunakan

KEPALA BATAS, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menyerbu kilang memproses makanan sejuk beku bukan Islam di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, hari ini.

Serbuan mendapati tahap kebersihan kilang berkenaan begitu menjijikkan apabila memproses makanan dengan meletakkannya di atas lantai hingga menyebabkan ia dihurung lalat dan lipas.

Bukan itu sahaja, terdapat tahi tikus yang dijumpai di celah-celah peralatan yang digunakan.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya mengutamakan aspek kebersihan supaya tidak berlaku keracunan meskipun produk berkenaan dipasarkan kepada bukan Islam.

Katanya, amaran dan nasihat telah diberikan kepada pemilik kilang berkenaan pada tahun lalu, namun ianya tidak diendahkan, malah tiada sebarang penambahbaikan dilakukan dan pekerja juga tidak mengambil suntikan tifoid.

“Dalam soal siasat, pemiliknya tidak habis-habis beri alasan kilang dah nak tutup sebab bankrap tapi dalam rekod sudah 50 tahun beroperasi dan berulang-ulang melakukan kesalahan sama,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mengulas mengenai perkara sama, Mohd Wazir berkata, pihaknya bimbang kerana terdapat sesetengah produk bebola yang dikeluarkan tidak mempunyai label, sekali gus akan menimbulkan kekeliruan terutama kepada pengguna muslim.

“Kita dapati terdapat percampuran pada bahan ikan dan daging babi dalam proses menghasilkan bebola, dan apa yang menjadi kekeliruan terdapat bungkusan yang tidak mempunyai label.

“Bagi produk yang mempunyai label (jenama) pula ditulis dalam tulisan Cina yang menyalahi undang-undang kerana setiap produk dikeluarkan wajib mempunyai tulisan bahasa Melayu kerana produk-produk makanan seperti ini kebiasaannya dijual di pasar basah,” katanya.

Mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, Mohd Wazir berkata, pihaknya bertindak menutup kilang berkenaan selama dua minggu berikutan kesalahan itu.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan tiga notis di bawah Peraturan 32 akta sama atas kesalahan pengabaian kebersihan diri ketika mengendalikan makanan.

“Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri juga mengambil tindakan ke atas pemilik berikutan kesalahan sukat timbang dan menyimpan minyak masak tanpa kebenaran.

“Selain itu, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBSP) pula mengambil tindakan berikutan pejabat kilang itu beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button