Berita Utama

Hang Soon tak minta maaf, MCA kini sebaris DAP

Guna bahasa Mandarin dalam ucapan seperti mahu cabar kerajaan

BANGI, 5 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Tindak-tanduk MCA sejak kebelakangan ini seperti mahu meletakkan diri mereka sebaris dengan DAP.

Terbaharu, kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam bahasa Mandarin dilihat sebagai usaha mencabar kerajaan dengan pelbagai provokasi seperti dilakukan DAP.

Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris melihat, penggunaan selain daripada bahasa kebangsaan bukan sesuatu yang baru dan telah lama digunakan.

“Ianya dengan harapan mahu membuka minda orang Melayu supaya boleh mesra menerima bahasa dan tulisan kaum lain, atas alasan mengamalkan dasar keharmonian dan perpaduan berbilang kaum di dalam negara majmuk.

“Kononnya Malaysia adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi tulen untuk disampaikan kepada Barat betapa demokrasi berjaya dilaksanakan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Hang Soong yang juga Timbalan Presiden MCA menerusi akaun Facebook memuat naik poster dengan logo KPM, memberi ucapan Selamat Menyambut Perayaan Perahu Naga dalam bahasa Cina.

Menurut terjemahan, Hang Soon berkata: “Mari kita meraikan semangat patriotik Qu Yuan dengan menyambut festival Perahu Naga untuk meneruskan intipati budaya Cina.”

Sebagai respon kepada reaksi netizen yang mengecamnya, beliau bertindak membuang logo KPM dan menyatakan bahawa ia adalah satu kesilapan.

Beliau mengaku tersilap meletak logo, namun mendakwa ada pihak bermain politik yang kononnya isu berkenaan ‘digereng’ untuk menimbulkan isu perkauman.

Mengulas mengenai perkara itu, Haji Rashidi berkata, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng sebelum ini pernah mempersoalkan pihak yang mengecam penggunaan bahasa lain selain daripada bahasa kebangsaan dalam kenyataan akhbar.

Beliau menyifatkan kenyataan bekas Menteri Kewangan itu seolah-olah mahu memanipulasi Perlembagaan, bagi membolehkan bahasa selain bahasa Melayu digunakan untuk urusan rasmi kerajaan.

Kini, katanya, isu sama diperhangatkan oleh MCA dan setelah menerima ribuan kecaman daripada netizen, Hang Soon segera menukar kenyataan bahasa Mandarin itu tanpa meminta maaf.

“Apakah jika tidak ditegur, perkara ini akan dibiarkan, dan apakah sesuatu yang berupa seperti provokasi ini mesti ditegur dahulu baru hendak dibuat pembetulan?

“Adakah selepas ini akan timbul pula provokasi mahu mengubah papan tanda jalan raya dengan tulisan Cina, atau lebih berani lagi meletakkan tulisan Cina pada semua nama-nama sekolah kebangsaan dengan alasan ramai orang Cina tidak tahu membaca tulisan rumi Bahasa Melayu?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close