Berita Utama

Belum ada bukti minyak masak terapung di Indonesia dari Malaysia

Orang ramai diminta tak buat andaian sehingga ada kenyataan sahih

KUALA LUMPUR, 6 Muharram 1444H, Khamis – Belum ada bukti atau maklumat minyak masak paket yang ditemukan terapung di perairan Indonesia yang tular di media sosial dibawa dari Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata sehubungan itu orang ramai diminta tidak membuat andaian sehingga ada kenyataan sahih dari pihak berkaitan mengenai berita berkenaan.

“Kita telah cuba dapatkan pengesahan dari media yang mengeluarkan berita itu, tetapi tidak ada satu pihak pun yang berikan butir-butir lanjut mengenai gambar-gambar yang ditularkan di akaun media sosial tertentu. Bagaimanapun maklumat awal yang kita terima minyak tersebut keluaran Indonesia sendiri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Annuar yang juga pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata beliau telah meminta pihak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi membuat susulan mengenai perkara itu.

Sejak beberapa hari lepas, tular di media sosial mengenai penemuan ribuan paket minyak masak terapung berhampiran Pulau Jawa, Indonesia dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button