Berita Utama

Jika mahu beroperasi semula, maahad tahfiz diminta berdaftar

Pendaftaran penting bagi mudahkan mereka terima peruntukan kerajaan

KUALA LUMPUR, 5 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Setiap institusi maahad tahfiz yang mahu beroperasi semula mesti berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri dalam tempoh masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, pendaftaran boleh dibuat melalui jabatan agama Islam atau majlis agama Islam negeri.

“Kelulusan untuk mereka beroperasi adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Oleh itu, pendaftaran semua maahad tahfiz yang ingin beroperasi amat penting sekali gus membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,” katanya.

Pada masa sama, beliau seperti dilapor media tempatan berkata, pendaftaran semua maahad tahfiz penting bagi memudahkan mereka menerima peruntukan daripada kerajaan setiap tahun.

“Kita sebenarnya saban tahun ada peruntukan kepada maahad tahfiz. Apabila mereka tidak berdaftar, jadi susah kita nak bagi sebab kepiawaian itu tidak kena dan syarat tidak cukup.

“Sebab itu pendaftaran ini penting dan berharap semua dapat penuhi SOP supaya sama-sama kita bergerak dalam berganding bahu dalam keadaan yang lebih tepat dan semangat serta mengikut apa yang dihasrat, ketika kita cuba menamatkan rantaian COVID-19,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz beroperasi semula.

Bagaimanapun, tarikh pembukaannya akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button