Berita Utama

Lagi pemandu mabuk! Rempuh kedai makan, pesara polis cedera

Pemeriksaan temui 2 tin minuman alkohol di dalam kereta suspek

AMPANG, 5 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Seorang jurutera yang memandu di bawah pengaruh alkohol merempuh sebuah kedai makan dan menyebabkan seorang pesara polis yang sedang makan di kedai di Taman Melawati, Ampang itu cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superitendan Mohd Azam Ismail berkata, berdasarkan maklumat awal, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, Jumaat, kereta Perodua Myvi yang dipandu suspek dilaporkan hilang kawalan lalu melanggar dua buah kenderaan yang diparkir di kawasan berhampiran sebelum merempuh kedai itu.

“Ketika pemeriksaan, kita turut menemukan dua tin minuman beralkohol di dalam kereta suspek,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Mohd Azam menambah, pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati tahap kandungan alkohol melebihi had dibenarkan

Ekoran itu, katanya, polis menahan reman suspek yang berusia 42 tahun selama empat hari sehingga Selasa ini.

Kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan.

Dalam pada itu, katanya, mangsa berusia 50-an itu mengalami kecederaan di muka kerana terkena serpihan meja.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 03-92740112 atau ke balai polis berhampiran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close