Berita Utama

Melucukan! Shafie calon PM, Tun M cuba sindir Anwar?

Jelas perlihat Tun M sudah berpantang arang dengan Presiden PKR

BANGI, 5 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri bolehlah sifatkan sebagai ‘melucukan’.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul berkata, mana mungkin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang hanya memiliki sembilan kerusi Parlimen dan merupakan parti paling muda berbanding parti lain dalam Pakatan Harapan Plus (PH Plus) memegang jawatan berkenaan.

Situasi itu juga, kata beliau, jelas memperlihatkan bagaimana Dr Mahathir kini telah pun berpantang arang dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia sesuatu yang melucukan untuk meletakkan seorang calon dari parti yang paling minoriti dalam gabungan Pakatan Harapan.

“Kenyataan terbaharu Dr Mahathir ini adalah sesuatu yang dijangka, beliau akan keluarkan apa-apa sahaja kenyataan dan saya nampak ini mungkin satu sindirin terhadap Anwar.

“Di mana letaklah mana-mana calon pun sebagai Perdana Menteri asalkan bukan Anwar, secara realiti tak mungkin Shafie akan diterima sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Ainul Adzellie berkata, secara komposisi, calon dari Warisan tidak mungkin diterima sebagai Perdana Menteri oleh DAP yang memiliki 42 kerusi Parlimen, PKR (39) dan PAN (11).

Katanya, ini merupakan petanda bahawa bibit-bibit perpecahan sudah mula kelihatan di dalam PH yang kini tidak lagi mampu untuk diselindungi.

Terdahulu, Dr Mahathir menyatakan Anwar tidak layak menduduki kerusi Perdana Menteri kerana memiliki ramai musuh.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri hanya akan menyebabkan sokongan terhadap PH jatuh merudum.

Selain itu, beliau turut menyifatkan Anwar boleh menyebabkan ramai orang meninggalkan gabungan parti berkenaan yang berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Atas sebab itu, Dr Mahathir melihat Mohd Shafie merupakan calon paling sesuai sebagai Perdana Menteri dan beliau akan memberi sokongan terhadap Presiden Parti Warisan Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button