Berita Utama

Tun M pilih Shafie calon PM, sifatkan Anwar ramai musuh

Shafie setia tentang kleptokrat, tak pernah belot dalam perjuangan

KUALA LUMPUR, 5 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Setelah mengambil pendirian berdiam diri berhubung keputusan untuk tidak mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan Plus (PH Plus) menguasai kerajaan semula.

Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya meluahkan apa yang terbuku sejak sekian lama, dengan menyatakan Anwar tidak layak menduduki kerusi nombor satu negara itu kerana memiliki ramai musuh.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, mencalonkan Anwar – seorang yang didakwa berfikiran liberal – sebagai Perdana Menteri hanya akan menyebabkan sokongan terhadap PH jatuh merudum.

Selain itu, beliau turut menyifatkan Anwar boleh menyebabkan ramai orang meninggalkan gabungan parti berkenaan yang berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Jadi seolah-olah dia (Anwar) hendak dia saja boleh jadi Perdana Menteri. Dan kita boleh bagi kepada dia. Tetapi dia mempunyai banyak musuh. Kita punya bilangan tidak cukup.

“Kita nak kena tambah bilangan. Kalau bubuh nama dia, saya fikir tak ramai yang akan menyertai. Bahkan akan ada orang-orang tertentu yang akan sedang ada dengan kita akan tinggalkan kita,” katanya dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, hari ini.

Atas sebab itu, Dr Mahathir melihat, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan calon paling sesuai sebagai Perdana Menteri dan beliau akan memberi sokongan terhadap Presiden Parti Warisan Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna itu.

Selain itu, katanya, beliau melihat Mohd Shafie sebagai tokoh paling sesuai untuk menjawat jawatan itu sekiranya PH berjaya mendapatkan semula Putrajaya.

Jelas beliau lagi, Mohd Shafie dilihat sebagai seorang ahli politik yang setia kepada perjuangan menentang kleptokrat dan tidak akan pernah belot sama sekali.

“Kita buat keputusan untuk pilih Datuk Seri Shafie Apdal kerana dia pegang kuat kepada perjuangan, tak pernah belot sama sekali. Dan kita anggap orang-orang di Sabah dan Sarawak ini akan sokong, kerana ini kali pertama orang Sabah, orang Sarawak dapat jadi Perdana Menteri.

“Saya akan sokong 100 peratus. Saya akan kempen untuk Shafie. Dan saya akan terangkan kenapa kita pilih Shafie,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button