Berita UtamaIstimewa

Anwar kena ‘game’ lagi bila Tun pilih Shafie calon PM

PN perlu manfaat perpaduan ummah, ketengah calon berwibawa

BANGI, 5 Zulkaedah 1441H, Ahad – Tun Dr Mahathir Mohamad musnahkan sekali lagi impian Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila memilih Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH)

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya yakin Shafie akan menjadi mangsa kambing hitam Dr Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu tidak akan berpuas hati selagi anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak naik sebagai Perdana Menteri.

Katanya, pencalonan Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri 2 menguatkan lagi kemungkinan itu.

“Inilah perancangan dan motif Tun yang sebenarnya. Perkembangan karier politik Anwar pasti akan tamat jika strategi Tun ini berjaya kerana jika Shafie berjaya menjadi Perdana Menteri, mana mungkin beliau akan menjadi Perdana Menteri sementara waktu selama beberapa bulan.

“Paling singkat pun mungkin satu penggal. Jika mahu ditunggu sehingga PRU-16 nantipun mungkin tidak praktikal kerana pada waktu itu Anwar sudah terlalu tua dan kita pun tahu bahawa Anwar tidaklah begitu sihat.

“Anwar perlu membuat keputusan untuk menerima tawaran Tun sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 atau hanya akan berputih mata kerana DAP dan PAN sudah pasti menyebelahi Tun dalam konflik Mahathir-Anwar ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir mengesahkan beliau bersama PAN, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP mencalonkan Shafie yang juga Presiden Warisan sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama Shafie; Presiden PAN, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan beberapa Ahli Parlimen lain seperti Anthony Loke, M Kulasegaran, Liew Chin Tong dan Tan Kok Wai dalam satu pertemuan.

Dr Mahathir berkata, mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 manakala Muhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Dalam pada itu, Haji Aminuddin mengakui tidak tahu percaturan Dr Mahathir berhubung perkara itu kerana jika berlaku undi tidak percaya pada sidang Parlimen Julai depan, kemungkinan besar Parlimen akan terbubar malah kemungkinan Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi pilihanraya umum adalah besar.

“Namun, saya juga mahu memberikan amaran kepada pimpinan PN kerana Tun bukan sebarang strategis dalam pilihanraya umum kerana beliau jarang sekali kalah.

“Malah, Tun telah banyak menumbangkan ‘gergasi-gergasi’ politik yang tidak sehaluan dengannya. Maka, jangan terlalu selesa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kekuatan ‘Perpaduan Ummah’ perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya dan jangan tertipu dengan ‘sentimen bencikan Pakatan Harapan’ semata-mata kerana ia boleh berubah dalam masa yang singkat.

“Ketengahkanlah calon-calon yang berwibawa dan jangan ambil remeh dengan permintaan rakyat yang mahukan calon muslim bertanding di kawasan majoriti muslim.

“Rakyat perlu semarakkan dua agenda utama ini supaya pimpinan parti politik tidak terleka yang akhirnya boleh memakan diri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button