Berita Utama
Empat pemandu mabuk ditahan
Alkohol lebih kadar dibenarkan,suspek berusia 36 hingga 48 tahun

KUALA LUMPUR, 5 Zulkaedah 1441H, Ahad – Polis menahan empat lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Alkohol dan pencegahan jenayah yang dilaksanakan di sekitar Petaling Jaya, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek berumur 36 hingga 48 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula 11 malam, selepas paras alkohol dikesan melebihi kadar ditetapkan.
“Polis turut mengeluarkan 20 saman terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi di daerah itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata, seramai 212 pengguna jalan raya dan 170 kenderaan diperiksa dalam operasi yang berakhir pada 3 pagi. -Bernama
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.